Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 13, 2017

[BERA] LIMPAHAN AIR SUNGAI DIATASI


Limpahan air Sungai Bera diatasi


Felcra Berhad dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bera akan membina kunci air dan mendalamkan Sungai Resing bagi mengatasi masalah limpahan air Sungai Bera ke 20 hektar tanah tanaman sawit, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Abdul Rahim Yusoh berkata, kerja itu akan dimulakan pertengahan bulan ini untuk memastikan ia siap seperti dijadualkan.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat walaupun dalam tempoh beberapa jam, air Sungai Bera akan melimpah ke anak Sungai Resing, sekali gus menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air.

“Ada tanaman yang ditanam pihak Felcra pada 2010 tidak dapat membesar dengan baik, sedangkan jika ia mendapat baja dan penjagaan yang secukupnya, ia sudah mampu mengeluarkan hasil.

“Malah ada yang ditanam pada tahun 2014 juga menghadapi masalah sama dan kebanyakannya rosak dan musnah kerana ditenggelami air,” katanya.

Menurutnya, kedudukan sebahagian tanah Felcra di kawasan rendah menyebabkan air Sungai Bera mudah memasuki kawasan itu namun lambat surut, hingga mengambil masa berbulan-bulan.

“Sejak lawatan terakhir di kawasan itu Mac lalu, masih terdapat beberapa kawasan ditakung air. Malah, Kuala Resing iaitu pertemuan antara Sungai Resing dan Sungai Bera menjadi penyumbang utama kepada masalah ini.

“Sebab itu, pihak Felcra bina kunci air berdekatan Kuala Resing dan lagi satu kunci air akan dibina di Sungai Resing di kawasan lain. Manakala pihak JPS pula mendalamkan Sungai Resing yang merintangi kawasan tanaman ini supaya air Sungai Bera yang melimpah dapat ditampung Sungai Resing,” katanya.

Abdul Rahim berkata, walaupun semua tanaman yang musnah itu ditanggung insurans, namun keadaan itu merugikan peserta Felcra di kawasan terbabit.

“Jumlah keseluruhan tanaman bagi 105 peserta Felcra Bukit Serdang saja membabitkan seluas 450 hektar dan hanya keluasan 231 hektar yang mengeluarkan hasil.

“Sekiranya masalah ini dapat dihadapi segera, ia akan menguntungkan peserta,” katanya.


0 comments:

share2