Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 15, 2017

[BERA] JETI TERBIAR BAKAL BERWAJAH BAHARU


Jeti terbiar bakal berwajah baharu


Jeti Kuala Bera yang terbiar selepas dinaik taraf beberapa tahun lalu bakal dijadikan lokasi pelancongan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Abdul Rahim Yusoh berkata, pertemuan antara Sungai Pahang dan Sungai Bera menjadikan salah satu sebab kawasan itu berpotensi dan bersesuaian sebagai lokasi pelancongan.

“Di sini juga, kita boleh jadikan tempat untuk turun naik bot, sebab memang pada awalnya ia berfungsi sebagai jeti. Cuma ia perlu dibaik pulih supaya kemudahan ini dapat dimanfaatkan semula.

“JKKK sudah mengemukakan permohonan kepada pihak Majlis Daerah Bera (MDB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita, di sini.

Abdul Rahim berkata, dengan kembalinya JKKK di kampung ini, pihaknya akan memastikan semua projek atau pembangunan yang terbiar dimajukan semula.

“Beberapa kesan sejarah boleh diperhatikan dari tapak jeti ini termasuk tapak lama masjid pertama di kampung ini.

“Dulu, boleh nampak masjid lama dari sini tapi sebab banjir besar pada tahun 1971 masjid itu roboh dan dihanyutkan air deras.

“Malah, ada mitos mengatakan Tanggang pernah singgah di sini kerana terdapat sebuah batu yang menyamai kisah Tanggang disumpah ibunya apabila kelihatan seperti rambut mengurai terkeluar dari celah batu itu.

"Namun mitos ini adalah yang diceritakan oleh orang tua dari generasi ke generasi dan tidak dapat kita nak mengesahkannya kejadian sebenar,” katanya.

Menurutnya, pihak JKKK akan dapat mengungkil lebih banyak sejarah di kampung ini agar sektor pelancongan dapat dibangunkan di sini sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk kampung.


0 comments:

share2