Machang - Rakyat Kelantan perlu berfikiran lebih jauh ke hadapan jika tidak mahu ketinggalan dalam perancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dirangka kerajaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya minda mereka masih dalam keadaan sekarang, mereka akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
"Sehubungan itu rakyat Kelantan perlu berfikiran positif dan menerima hakikat dengan tuntutan semasa untuk mereka berubah mulai sekarang," katanya pada program Dialong TN50 Peringkat Negeri Kelantan bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini, semalam.
Turut hadir dalam dialog itu adalah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Mustapa yang juga Pengerusi umno Kelantan berkata, TN50 adalah perancangan antaranya supaya rakyat menjuarai pelbagai bidang termasuk perdagangan hingga ke peringkat antarabangsa.
"Kita mahu anak Kelantan mempunyai masa depan yang lebih terjamin," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan menggalakkan golongan muda agar memberi pandangan mengenai pembentukan negara yang mereka inginkan menjelang 2050 kelak.
Antara inspirasi yang diketengahkan peserta yang terdiri daripada golongan muda di negeri ini adalah perhatian serius kerajaan terhadap aspek alam sekitar seperti kegiatan pembalakan dan pembukaan tanah untuk pertanian dan perlombongan supaya khazanah alam itu dapat kekal dinikmati generasi pada 2050.
Turut dicadangkan adalah penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, memelihara kesenian dan kebudayaan masyarakat, menyediakan kemudahan sukan mengikut selera anak muda dan menggalakkan penggunaan tenaga dari teknologi solar bagi mengelakkan kawasan masyarakat Orang Asli diambil untuk dijadikan empangan hidroelektrik.
0 comments:
Post a Comment