Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 23, 2017

ROTI CANAI JANG HOBIN DIJUAL 50 SEN


Roti canai jang Hobin dijual 50 sen


Jempol - Penangan Skuad Jang mara ke separuh akhir Piala FA 2017, seorang penjual roti canai mengambil keputusan menjual roti canainya dengan separuh harga 50 sen semalam di restoran Cr Khan Enterprise, Bandar Seri Jempol.

Roti yang diberi nama 'roti canai Jang Hobin' ini uniknya bertemakan warna bendera Negeri Sembilan iaitu merah dan kuning dengan jumlah 100 keping bermula jam 10 pagi.

Salinah Asarullah Khan, 34, berkata, idea itu tercetus selepas menonton perlawanan bolasepak pasukan Jang.

"Pada awalnya terdetik, jika pasukan Jang dapat mara ke peringkat separuh akhir, saya akan tawarkan roti canai separuh harga dari RM1 kepada 50 sen dengan bertemakan warna bendera Negeri Sembilan.

"Usaha ini juga sebagai memberi sokongan terhadap pasukan ini supaya mereka lebih bersemangat untuk terus mencatat kemenangan sehingga akhir perlawanan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui.

Salinah berkata, sekiranya pasukan Jang berjaya mara ke peringkat akhir nanti, pihaknya bercadang memberikan 100 keping roti canai berwarna merah dan kuning percuma kepada pelanggan ataupun mengikut jumlah mata jaringan gol.

Anak sulung daripada lima beradik ini mengambil alih perniagaan roti canai tradisi keluarganya sejak setahun lalu agar resipi turun temurun ini tidak hilang ditelan zaman.

Terdahulu, pasukan Jang melakar keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad Hoben Jang Hoben bakal bertemu sama ada Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bersaing pada malam ini.

Manakala kali terakhir Negeri Sembilan menjejaki peringkat suku akhir Piala FA adalah pada 2013 yang menyaksikan mereka tunduk kepada Terengganu dengan agregat 1-6.


0 comments:

share2