Kuala Lumpur - "Harga petrol RON95 dan RON97 bulan hadapan dijangka naik"... Maka dengan sekelip mata, laman sosial pasti dipenuhi dengan kupasan dan hujah 'pakar-pakar ekonomi maya' yang kebanyakan hujahan mereka tidak didokong dengan fakta.
Kumpulan penulis maya ini sentiasa bersedia untuk menghangat dan mamanaskan sesuatu perkara tanpa peduli tentang kesahihan dan ketepatan fakta sebelum ditularkan melalui Facebook, Instagram, WhatsApp dan pelbagai platform media sosial sosial.
Keterujaan untuk turut serta dalam perbincangan tanpa kefahaman yang mantap seperti situasi harga minyak mentah dunia mahupun keadaan ekonomi semasa, menjadi tembok besar antara realiti dan fantasi yang berlegar di minda jaguh papan kekunci ini.
Tanpa memikirkan kesan dan akibatnya, mereka berlumba-lumba menularkan maklumat tersebut sebelum membuat pengesahan hanya kerana mahu menjadi yang pertama berkongsi informasi.
Mengakui penularan berita palsu di media sosial seakan menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata tindakan undang-undang adalah antara jalan terbaik untuk menghentikan perbuatan sedemikian.
Menurutnya, melalui hukuman berat termasuk pelaksanaan tempoh penjara yang lebih lama ditambah lagi dengan denda, diharapkan dapat menyedarkan masyarakat mengenai perkara itu.
Katanya pada masa ini walaupun banyak kes tangkapan telah dijalankan, orang ramai masih memandang ringan dan tidak mengambil pengajaran sewajarnya.
"Sekatan laman web dan laman sosial peribadi sahaja tidak cukup. Tempoh pemenjaraan yang lebih lama, ditambah dengan kerja khidmat masyarakat perlu dikenakan kepada pesalah bukan sahaja untuk membendung masalah, tetapi sebagai peringatan keras kepada masyarakat supaya bijak dalam tindakan mereka," katanya.
Memberi contoh Amerika Syarikat, Ahmad Marthada berkata individu yang menyebarkan maklumat berkaitan terrorisme akan segera ditahan tanpa bicara di Guantanamo Bay iaitu sebuah kem tahanan ketenteraan yang dikhususkan untuk mereka yang terlibat dengan aktiviti keganasan.
Disebabkan itu, rakyat negara tersebut dilihat lebih berhati-hati untuk berkongsi maklumat dan pendapat khususnya melibatkan perkara sensitif.
Di Malaysia berdasarkan rekod, sebanyak 167 kes penyalahgunaan Internet dan media sosial disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara tahun lepas hingga 1 Feb tahun ini, termasuk penyebaran kandungan dan maklumat palsu melalui platform WhatsApp, Facebook dan Twitter.
Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dalam tempoh sama, 1,375 laman web turut disekat atas kesalahan kandungan berunsur palsu.
Di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang individu yang menyebarkan komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu
boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menyedari aspek pendidikan memainkan peranan penting, Ahmad Marthada berpendapat etika penggunaan media sosial perlu diterapkan dari peringkat sekolah rendah memandangkan alat komunikasi seperti telefon pintar turut digunakan oleh pelajar.
Dari aspek psikologi pula, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata apabila tabiat menyebar maklumat palsu sudah menjadi kebiasaan, si pelaku akan cenderung ke arah kelompok kompulsif iaitu cepat berasa resah jika tidak melakukannya.
Mengibaratkan golongan itu sebagai 'hero kedai kopi' yang kebanyakannya hanya bersembang tanpa fakta, beliau berkata mereka berbuat demikian kerana dahagakan pengiktirafan lebih-lebih lagi apabila maklumat itu mendapat 'like' terbanyak di media sosial selain mendapat tumpuan serta reaksi daripada masyarakat.
"Ditambah pula 20 peratus dalam kalangan masyarakat kita yang gemarkan isu panas menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab ini giat mencari bahan untuk disensasikan," katanya.
Justeru beliau mencadangkan agar anggota komuniti seperti persatuan penduduk untuk menjadikan agenda media sosial sebahagian daripada agenda persatuan, selain peranan jawatankuasa masjid yang perlu turut serta menganjurkan program keagamaan dan tazkirah.
Turut bersetuju ialah Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang mahu masyarakat mengamalkan sikap Tabayyun iaitu 'selidik dan teliti' sebelum menyampai atau menerima sesuatu maklumat.
"Jika berita itu benar sekalipun tetapi membawa keaiban kepada seseorang, kita dilarang menyebarkannya, apatah lagi jika ia palsu dan fitnah kerana berbohong adalah sifat orang munafik dan sangat dicela oleh Islam," katanya.
Sehubungan itu bagi mendidik orang ramai mengenai pentingnya menyemak kesahihan berita yang ditular di laman sosial, kerajaan melalui KKMM mewujudkan portal pengesahan maklumat dikenali 'sebenarnya.my' yang dilancarkan pada 14 Mac lepas.
Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata menerusi portal itu, SKMM akan mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pihak yang terlibat atau menyemak maklumat rasmi bagi mendapatkan laporan yang tepat berkaitan bahan yang ditularkan di media sosial.
“Maklumat yang berkaitan akan dikumpulkan, dianalisa, disahkan dan seterusnya dimuat naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat Malaysia.
“Usaha ini tidak terhenti setakat itu, sebaliknya kita akan terus memantau, mengumpul dan mengemas kini maklumat berita palsu yang disebar bagi memastikan masyarakat mempunyai sumber rujukan terkini, tepat dan sahih,” katanya ketika melancarkan portal "sebenarnya.my".
Beliau berkata melalui portal itu yang bertujuan memerangi berita palsu dan fitnah, orang ramai juga boleh melaporkan berita yang diragui bagi mendapatkan pengesahan dan kesahihan.
Diharapkan selepas ini masyarakat Malaysia akan dapat membezakan antara realiti dan fantasi di media sosial sejajar dengan tema portal terbaru KKMM iaitu 'Tidak Pasti, Jangan Kongsi'.
0 comments:
Post a Comment