Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 21, 2017

[JERANTUT] PENGSAN KETIKA LATIHAN KAWAD


Pengsan ketika latihan kawad


Seorang abang tidak menyangka adiknya yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran meninggal dunia, dua hari sebelum umurnya genap 24 tahun.

Mohd Ariff Hamzah, 28, berkata, adiknya, Muhammad Aizat Hamzah, 23, meninggal dunia Khamis lalu selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Port Dickson, Negeri Sembilan akibat strok haba.

Arwah Muhammad Aizat merupakan seorang perajurit muda yang sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusada) Port Dickson, Negeri Sembilan.

Arwah difahamkan pengsan secara tiba-tiba ketika sedang melakukan latihan kawad kaki sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sehari sebelum arwah disahkan meninggal dunia.

Mohd Ariff berkata, ketika kejadian, dia sedang bertugas di Shah Alam sebelum dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa adiknya itu.

“Saya sedang bertugas pada malam sebelum arwah meninggal dan mematikan telefon bimbit saya. Keesokan pagi, saya lihat ada panggilan daripada adik perempuan saya.

“Saya telefon semula dan diberitahu arwah dimasukkan ke hospital sebab pengsan. Saya telefon ayah saya untuk kepastian dan ayah saya sudah dalam perjalanan ke Port Dickson,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Dia turut bergegas ke Port Dickson bersama seorang rakannya dan sebaik tiba di hospital, dia dimaklumkan bahawa adiknya itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Mohd Ariff kemudiannya dibenarkan masuk untuk bertemu dengan adiknya dan turut ditanyakan berkaitan masalah kesihatan pemuda itu.

“Saya beritahu doktor, arwah adik saya ini tiada masalah kesihatan. Bukan sahaja itu, arwah juga tidak hisap rokok dan seorang yang sangat sihat,” katanya.

Menurutnya, setelah melihat keadaan adiknya yang tidak sedarkan diri, dia kemudiannya beredar untuk menguruskan penginapan bapanya, Hamzah Lehak, 62, sebelum kembali ke Shah Alam untuk menguruskan cuti.

“Tidak lama kemudian ayah saya beritahu yang dia dah sampai ke sana. Saya pula bergegas kembali semula ke Port Dickson pada jam 11 malam kerana dapat panggilan dari pihak hospital.

“Dalam perjalanan, saya tertidur di kawasan rehat dan rawat dan tersedar pada jam 7 pagi selepas mendapat panggilan dari ayah saya meminta segera ke hospital,” katanya.

Mohd Ariff berkata, sebaik tiba di hospital, dia disambut oleh jururawat yang memberitahu bahawa Muhammad Aizat sedang nazak.

“Doktor kata ada bahagian dalam otak adik saya yang sudah tidak berfungsi dan meminta supaya kami bersedia pada bila-bila masa. Sedang saya membacakan surah Yasin, saya dengan bunyi mesin dan doktor kemudiannya mengesahkan bahawa adik saya meninggal dunia pada jam 8.23 pagi,” katanya.

Dia kemudiannya memaklumkan perkara terbabit kepada ibunya, Jamaliah Abnihajar, 52, dan ahli keluarga yang lain serta jenazah Muhammad Aizat kemudiannya di bawa pulang untuk dikebumikan di kampung ayahnya di Kampung Gajah Mati, di sini, Khamis lalu.

Bercerita lanjut tentang arwah Muhammad Aizat, Mohd Ariff berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya itu pada sekitar November 2016 ketika menghantarnya menjalani latihan ketenteraan di Port Dickson.

Katanya, Muhammad Aizat yang lebih setahun menamatkan pengajiannya di Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan mengambil keputusan untuk menyertai tentera bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih menjamin masa depannya.

“Sebelum ni arwah ada kerja di Bukit Tinggi. Tapi dia berhenti sebab nak masuk tentera. Katanya, nak masuk tentera sebab nak dapatkan cabaran baharu selain kerja lebih menjamin,” katanya.

Jamaliah pula berkata, arwah Muhammad Aizat sangat aktif bersukan sejak sekolah, jadi dia tidak menyangka kejadian malang itu akan menimpa anaknya.


0 comments:

share2