Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 5, 2017

SIHAT SECARA HOLISTIK


Sihat secara holistik


Peka terhadap kesihatan tubuh boleh membuatkan seseorang itu hidup lebih bermakna.

Kesihatan bermula daripada faktor pemakanan dan gaya hidup. Kita harus faham bahawa wang tidak mampu membeli kesihatan kerana individu itu sendiri yang perlu berubah untuk mendapat kesihatan optimum.

Pengamal perubatan holistik, Dr. Sani Ashari menegaskan perubatan holistik boleh membantu meningkatkan kesihatan seseorang individu. Ini kerana rawatannya berbentuk menyeluruh dan menyentuh aspek fizikal, sosial, mental serta spiritual. Empat aspek ini perlu sihat untuk mendapat kesihatan keseluruhan.

“Perubatan holistik bermaksud keseluruhan. Kami cuba mencari punca penyakit dan pesakit diberikan pendidikan terlebih dahulu mengenai cara menjaga kesihatan yang betul. Tujuannya bukanlah untuk mencegah penyakit semata-mata tetapi mengenal pasti punca kepada masalah yang mengganggu kesihatan diri seseorang.

“Saya tidak menggunakan sebarang bahan kimia dalam perubatan yang dijalankan. Saya nasihatkan agar pesakit mengubah gaya hidup dan cara pemakanan kerana pemakanan merupakan antara punca utama kepada masalah kesihatan,” katanya.

Kelas Kedua

Apabila menjelaskan tentang perbezaan rawatan holistik dan elopati, Dr. Sani menegaskan lebih baik berbicara soal saling melengkapi. Menurut beliau rawatan holistik ialah komplementari yang melengkapi bidang perubatan.

“Kewujudan pengamal perubatan holistik adalah untuk melengkapkan rawatan lain. Saya berpengalaman selama tujuh tahun sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan dan klinik swasta. Selepas itu saya mengembangkan ilmu dalam bidang perubatan holistik. Di sinilah saya dapat lihat bahawa kedua-dua rawatan ini sebenarnya saling memerlukan,” ujarnya.

Dianggap tahap kelas kedua merupakan antara cabaran untuk beliau mempromosikan rawatan komplementari atau holistik. Untuk mengubah pandangan individu itulah yang menjadi cabaran utama agar rawatan ini tidak dipandang rendah.

“Antara yang paling sukar ialah cara untuk mempromosikan rawatan holistik yang sentiasa dipandang sebagai perubatan kelas kedua. Ramai yang memandang rendah kepada perubatan ini, malah paling mencabar adalah cara mengubah minda masyarakat bahawa rawatan alternatif boleh membantu individu menjadi lebih sihat,” tambahnya.

Justeru untuk meyakinkan individu, pengamal perubatan lazimnya menggunakan kesan positif selepas rawatan dilakukan. Dari situ keyakinan seseorang akan bertambah. Walaupun peningkatannya agak perlahan tetapi bagi pengamal perubatan, hal ini merupakan satu kepuasan.

Apabila pesakit mula menunjukkan tanda-tanda positif, cabaran ini mampu diatasi.

Pengambilan Nutrisi

Menurut Dr. Sani, penjagaan kesihatan melalui pemakanan ialah dengan cara peka terhadap makanan yang diambil.

Ada banyak makanan di sekeliling kita. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk memilih makanan yang disuap ke mulut. “Kita perlu lihat semula jenis nutrisi yang kita ambil pada setiap hari. Kita tidak boleh hanya mengambil kira jumlah kalori yang diambil tetapi juga harus mengambil kira zat yang ada dalam pemakanan yang diambil. Elakkan mengambil makanan yang terlalu banyak bahan kimia. Minum air yang bersih adalah tip penjagaan kesihatan yang mudah dan ringkas.

“Jika di Amerika Syarikat, mereka menolak Genetic Modified Food (GMO) dan lebih mengambil real food. Itu yang masyarakat perlu tahu dan faham. Makan sedikit ataupun makan banyak bukanlah pengukur kepada daya kesihatan seseorang. Tetapi apa yang diambil dalam setiap nutrisi setiap hari itu yang lebih penting,” terang Dr. Sani.

Kesihatan Wanita

Rawatan holistik daripada aspek kesihatan dan kecantikan untuk wanita ternyata lebih unik kerana mereka mempunyai perubahan fizikal, fisiologi dan mental bergantung kepada perubahan hormon. Sebagai contoh, walaupun menjaga muka secara rutin,
jerawat ada kalanya muncul disebabkan masalah hormon. Ini kerana mood dan emosi wanita mudah terganggu.

“Oleh itu penjagaan kesihatan secara holistik perlu dilihat mengikut umur, keperluan semasa, tahap kesihatan dan banyak lagi. Wanita perlu memantau dan sedar akan perubahan pada diri sendiri.

Perubahan gaya hidup, pemakanan seimbang dan pemikiran positif merupakan antara yang disarankan dalam rawatan holistik ini,” ujar Dr. Sani lagi. Kenal pasti faktor tekanan dan makanan yang boleh mempengaruhi kesihatan. Malah penjagaan pemakanan dan nutrisi harus diambil kira mengikut keperluan yang berbeza. Pemakanan semula jadi, pengambilan herba dan suplemen juga berbeza mengikut keperluan.

Keterbukaan Minda

Kini penerimaan masyarakat terhadap rawatan holistik semakin baik apabila rawatan ini membantu mengurangkan masalah seseorang. Setiap penyakit ada penawarnya. Rawatan holistik turut berdepan dengan cabaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia dalam mencari penawar.

Rawatan holistik mempunyai pendekatan dengan menangani punca penyakit berbanding hanya merawat gejala. Pendekatan yang menyeluruh bertujuan untuk memperkasakan sistem imun, mengembalikan keseimbangan pelbagai sistem badan dan membantu mencegah penyakit.

“Saya lebih suka memberikan kebebasan kepada masyarakat untuk membuat pilihan dalam perawatan kepada sesuatu masalah kesihatan yang dihadapi. Saya percaya, sedikit demi sedikit pilihan itu sudah mampu dilakukan kerana keterbukaan minda
dan pembangunan yang dilakukan dalam rawatan komplementari.

“Malah kami juga sangat komited untuk membantu semua pelanggan menguruskan kesihatan secara bersepadu, selain membantu dalam perjalanan kesejahteraan mereka sambil menangani ketiga-tiga aspek kewujudan manusia iaitu Minda, Badan dan Rohani,” ujarnya menutup bicara.


0 comments:

share2