Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 5, 2017

[PEKAN] MAKANAN LEMBU TERPUTUS, KANDANG JADI PULAU


Makanan lembu terputus, kandang jadi pulau


Selepas 10 hari kandang lembu terkepung banjir, kini pemilik haiwan ternakan itu perlu menunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk keadaan kembali pulih di Kampung Sungai Ganchong.

Kandang lembu menempatkan 60 lembu itu terbentuk seakan pulau apabila kawasan sekelilingnya di tenggelami banjir dan menyebabkan haiwan ternakan tersebut kekurangan makanan.

Pemilik ternakan, Mohamed Safri Mohamad Sidek, 52, berkata, lembu yang lemah akibat kebuluran terpaksa dipindahkan menggunakan bot bagi menyelamatkan haiwan itu daripada mati.

Menurutnya, nasib beberapa ekor lembu yang tidak pulang ke kandangnya ketika air mula membanjiri masih belum diketahui sehingga sekarang.

"Semua kawasan ini termasuk padang ragut ditenggelami air dan saya tidak dapat mencari lembu dalam berbelas ekor yang tidak balik semula ke kandang pada hari pertama banjir.

"Pada banjir 2014, sama juga kena banjir tetapi saya tidak sempat tambun tanah tinggikan kawasan kandang dan semua lembu terpaksa letak kat bahu jalan raya sampai air surut.. dalam dua minggu lebih juga.

"Itu yang jadi macam pulau sebab saya dah tambun bagi tinggi dan bersyukur banjir kali ini tak teruk.. cuma rumput nak bagi lembu makan tak cukup,"katanya.

Mohamed Safri berkata, makanan dedak diangkut menggunakan bot ke kandang berkenaan setiap pagi dan petang bagi memastikan haiwan ternakan tersebut dapat 'bertahan' selepas padang ragut ditenggelami banjir.

Menurutnya, dia merancang memperluaskan kawasan menambun tanah sebagai persediaan menghadapi banjir pada masa akan datang.

"Kandang ini diusahakan sejak 1995 dan selepas banjir besar 2014, saya ambil inisiatif tambun tanah untuk tinggikan bahagian kandang dengan kos RM8,000.

"Melihat pada keadaan sekarang, sekurang-kurangnya seminggu lagi baru air surut,"katanya.


0 comments:

share2