Shah Alam - Semua pihak diminta berwaspada dengan sikap DAP yang didakwa talam dua muka demi mengaut kepentingan kiri dan kanan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendakwa, DAP kini semakin menyerlahkan pendirian 'dua wajah' dalam satu-satu perkara dihadapi.
"Kepura-puraan DAP ini bukan perkara baharu apabila segala tembelang mulai pecah setelah segala yang diperjuangkan selama ini hanyalah topeng dan lakonan. Misalnya perjuangan berkaitan alam sekitar seperti Lynas, tetapi DAP di Pulau Pinang sendiri mengemukakan projek pengangkutan yang memusnahkan alam sekitar negeri itu.
"Begitu juga soal integriti yang tegas dipegang selama ini, akhirnya tercalar oleh dakwaan skandal rasuah melibatkan pemimpin tertinggi. Pemerintahan ala Khalifah Umar Abdul Aziz yang dicanang-canang, akhirnya menjadi sebaliknya hingga membawa kepada pelbagai cemuhan.
"Begitu juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah lantang menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu dalam isu Bumiputera Malaysia Finance (BMF), namun hingga kini gagal menyatakan pendirian dari pendedahan terbaharu CIA. Apakah kerana kemesraan terbaru dan berlaku janji tawar menawar yang lumayan antara mereka berdua?," soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Nurul dalam masa sama turut menyifatkan pendirian politik DAP sebagai parti berpendirian opurtunis dan pragmatik yang hanya memikirkan agenda peribadi semata-mata.
Tambahnya, cara dan gaya sebegini tidak akan mampu menjadikan wadah politik untuk memenuhi harapan dan sandaran rakyat sebaliknya hanya bermotif mengaut peluang demi kedudukan dan kuasa.
"Malah, DAP telah berkali-kali dibidas anggota parti sendiri secara terbuka dan menyanggah prinsip yang berubah-ubah dan dilihat tidak telus.
"Ini sebagaimana terbaru oleh Adun Bilut, Chow Yu Hui membidas himpunan berhubung bantahan ke atas Presiden Amerika, Donald Trump yang melarang kemasukan Muslim dari tujuh negara. Sedangkan DAP sendiri pernah mempersoal pihak yang membantah kemasukan atlet luncur air Israel pada Kejohanan Luncur Air di Langkawi tahun 2015 dahulu," ujarnya lagi.
Malah, katanya lagi, DAP juga pernah dipertikai oleh bekas pimpinannya seperti Tunku Aziz, Hew Kuan Yaw dan Janice Lee dalam banyak aspek dan perkara.
"Politik jelik dimainkan DAP ini amat perlu diwaspada dan dihindari masyarakat disebalik kewujudan penjajahan licik politik global masa kini.
"Mereka begitu mudah berpaut dan memanipulasikan sesiapa sahaja tanpa ada perasaan malu dan menjaga maruah, selain acapkali berhubungan dengan pihak negara asing," bidasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment