Tujuh pelajar Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Lipis tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa mereka di Taman Jelai, Batu 10 di sini, musnah dalam kebakaran, pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 9.46 pagi.
Menurutnya, tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar Lipis untuk bantu memadam kebakaran.
“Sejurus sampai di tempat kejadian kita mendapati berlaku kebakaran yang melibatkan dapur dan dua bilik tidur.
“Kita bertindak menggunakan satu aliran ‘hose reel’ air tangki dari jentera.
“Api dapat dikawal dari merebak ke tempat lain kira-kira jam 10.07 pagi dan operasi tamat pada jam 10.40 pagi.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua penghuni berada di sekolah. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya, semalam.
Hadir menziarahi pelajar berkenaan dan melawat tempat kejadian ialah Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Setiausaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd Pauzi Abu Hussaini.
0 comments:
Post a Comment