Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 4, 2017

[JENGKA] INOVASI KATIL BUJANG JADI KATIL OKU


Inovasi katil bujang jadi katil OKU


Menginovasikan sesuatu produk sedia ada bukan satu tugas mudah, apatah lagi memastikan ia bukan sahaja murah dan mampu milik tetapi berkualiti.

Begitulah hasrat pasangan suami isteri, Amiruddin Fauzi, 40 dan Zamilah Hamzah, 37, yang kini semakin aktif menerima tempahan katil pesakit lumpuh atau orang kurang upaya (OKU) daripada badan-badan kebajikan, organisasi dan perseorangan.

Zamilah berkata, pada asalnya dia mengusahakan perniagaan spa dan butik pelamin serendah RM500, manakala suaminya pengusaha grill serta kanopi.

“Ketika tu kami buat pinjaman Agrobank. Komitmen bulanan memaksa kami terus kreatif mencuba idea baru untuk menjana pendapatan tambahan. Selain perkembangan bisnes sedia ada, suami dapat idea buat katil boleh laras.

“Dari situlah kami terfikir untuk khaskan katil ini kepada orang sakit seperti lumpuh atau angin ahmar serta pengguna OKU yang lain.

“Daripada satu reka bentuk ke satu reka bentuk akhirnya kami dapat buat serupa macam katil hospital. Ia adalah rekaan inovasi dari katil bujang menjadi katil boleh laras dan disesuaikan untuk kegunaan pesakit. Apabila dah puas hati dengan rekaan, baru kami ambil tempahan,” katanya ditemui di premisnya, Melur Grill Enterprise di Felda Jengka 12, di sini.

Bagi Amiruddin, menjadi tukang besi memerlukan ketelitian tinggi bagi menjaga kualiti dan keselamatan, apatah lagi produk tersebut untuk kegunaan orang sakit.

Namun berkat kesabaran tinggi dan semangat tidak mudah putus asa, akhirnya rekaannya mula mendapat tempat dan kepercayaan pelanggan.

“Idea ini tercetus apabila isteri saya melahirkan anak keempat. Dia kena bedah waktu itu, dia payah untuk bangun sendiri dari katil. Dari situlah terhasilnya ilham buat katil ni untuk memudahkan isteri.

“Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Nazlan Idris yang memberikan dorongan dan galakan kepada pengusaha tempatan seperti kami. Beliau juga buat tempahan yang banyak daripada Melur Grill untuk disumbangkan kepada pesakit yang memerlukan di kawasannya.

“Saya harap kerjasama seperti ini dapat dijalankan dengan mana-mana pemimpin lagi untuk kegunaan masyarakat,” katanya.

Jelas Amiruddin, katil itu mempunyai keunikan dwi fungsi yang boleh digunakan sebagai katil bujang apabila ia tidak mahu digunakan lagi.

“Harga ditawarkan juga murah iaitu RM650 sebuah berbanding ribuan ringgit bagi produk luar," katanya.


0 comments:

share2