Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 3, 2017

DOA ITU IBADAH


Doa itu ibadah


Ada manusia tekun berdoa kepada-Nya, ada yang berdoa sambil lewa sebagai rutin harian tanpa khusyuk dan ada juga tergesa-gesa berdoa mengharapkan pengabulan segera daripada-Nya. Hamba yang berdoa berpandukan adab-adab dan waktu-waktu yang dikabulkan akan mendapat pahala di sisi ALLAH.

Hal ini dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW: "Doa ialah ibadah. Tuhan kamu berfirman, berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina." (Riwayat Tirmizi)

Mereka yang berdoa dengan hati ikhlas semata-mata memohon kepada ALLAH akan diberikan pahala. Pastikan dalam doa tidak terkandung perkara yang syirik dengan meminta selain daripada ALLAH atau digabung nama manusia dengan nama ALLAH. Perkara ini ditegaskan ALLAH dalam Surah Yunus ayat 106.

DOALAH BERSUNGGUH-SUNGGUH

Kesungguhan seseorang hamba berdoa dituntut dan janganlah berdoa sambil lewa dan tidak fokus. Hal yang sedemikian menyebabkan doa tidak diterima ALLAH. Seorang hamba diminta jangan berdoa dalam keadaan marah atau geram. Usah terlalu beremosi dan perlu berhati-hati, terutamanya ibu bapa. Kawal amarah ketika berhadapan dengan anak-anak. Doa yang terkandung keburukan, ALLAH tidak akan menerimanya.

Kadang-kadang kalangan kita berdoa dengan penuh ikhlas tetapi tidak dikabulkan. Mungkin mereka tidak perasan, doa yang diungkap tidak terkandung puji-pujian dan selawat.

Hal ini berlaku pada zaman Baginda SAW apabila seseorang itu berdoa terlupa menyebut puji-pujian dan selawat. Kisah ini disampaikan Buraidah Al-Aslami, beliau berkata: "Nabi SAW mendengar lelaki berdoa di mana beliau mengucapkan: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau dengan kesaksianku bahawa Engkau adalah Tuhan, tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau satu-satunya, tempat bergantung dan meminta, yang tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan, dan tidak ada suatu apa pun yang menyamai-Nya."

Juga diriwayatkan kisah seseorang yang tidak berselawat dalam doa maka tidak dikabulkan doanya. Hal ini diriwayatkan Fadhalah bin 'Ubaid: "Ketika Rasulullah SAW sedang duduk, tiba-tiba seorang lelaki masuk, lalu solat dan berdoa: "Ya ALLAH, ampuni aku dan kasihani aku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Engkau tergesa-gesa wahai orang yang solat. Apabila engkau solat, kemudian duduk, maka pujilah ALLAH dengan pujian yang layak bagi-Nya. Bacalah selawat ke atasku, kemudian berdoalah." Setelah itu, seorang lelaki yang lain solat, setelah itu dia memuji ALLAH, berselawat ke atas Nabi SAW. Maka kata Nabi SAW: "Wahai orang yang solat berdoalah, nescaya akan diperkenankan.' (Riwayat Tirmizi)

PELAMPAU DOA?

Perkara yang perlu dijaga bagi mereka yang berdoa agar jangan terlampau dalam mengungkapkan doa. ALLAH tidak suka kepada hamba yang melampau dalam berdoa, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-'Araaf ayat 55. 

Suara perlu dijaga jangan kuat atau keras sebagaimana yang berlaku dalam sesetengah acara doa dibaca dengan keadaan suara keras. Ibn Kathir telah menukilkan perkataan salaf soleh dalam tafsirnya.

Hal sebegini banyak diabaikan masyarakat ketika berdoa. Mereka meninggikan suara melampau-lampau. Maksud lampau dalam Surah Al-'Araaf ayat 55 tadi, mereka yang berdoa memohon sesuatu di luar batasan munasabah dan perkara yang terlarang. Bentuk-bentuk lain melampau dalam berdoa, menyusun doa dalam bentuk bait-bait lirik, syair dan puisi. Sesetengah mereka beranggapan perbuatan ini menjadi wasilah mendekatkan diri kepada ALLAH. Sedangkan ALLAH tidak pernah meminta jika seseorang mahu berdoa, hendaklah dilakukan dengan cara berirama atau diiringi dengan irama muzik.

ANGKAT TANGAN

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ALLAH itu sangat pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu jika seorang lelaki mengangkat kedua tangannya untuk berdoa kepada-Nya, lalu Dia mengembalikannya dalam keadaan kosong dan hampa." (Riwayat Tirmizi)

Hadis ini adalah dalil yang menunjukkan disunnahkan berdoa dengan mengangkat tangan secara umumnya.

Cara mengangkat tangan terbahagi kepada tiga bentuk, dalam atsar daripada Ibn Abbas RA beliau berkata: "Al-Mas'alah (doa secara umum) adalah dengan mengangkat kedua tangannya sebatas bahu atau sekitar keduanya. Al-Istighfaar adalah dengan satu jari yang menunjuk (ke atas). Al-Ibtihal (doa ketika kecemasan dan mengadu di kala musibah) adalah dengan mengangkat sambil menadahkan kedua tanganmu secara bersamaan." (Riwayat Abu Dawud)

Ketiga-tiga bentuk tersebut perlu difahami cara mengangkatnya sesuai dengan kejadiannya.

Al-Mas'alah adalah jenis yang umum dan dilakukan ketika berdoa memohon sesuatu. Membuka telapak tangan dan mengangkatnya separas bahu.

Mungkin diperturunkan di sini untuk tatapan pembaca pandangan ulama Syafie. Ulama Mazhab Al-Syafie mengatakan telapak tangan mengarah ke langit dan belakang tangan ke bumi, boleh saling ditempelkan ataupun tidak. Hal ini dilakukan dalam berdoa untuk mengharapkan terkabul sesuatu. Manakala untuk mengharapkan hilangnya bala keburukan, belakang tangan yang menghadap ke langit, telapak tangan mengarah ke bumi (iaitu ibtihal).

Jika berdoa bentuk al-Istighfaar atau disebut juga dengan ikhlas, iaitu dengan cara mengacungkan jari telunjuk tangan kanan. Perbuatan begini dilakukan ketika waktu berzikir dan doa sewaktu berkhutbah hari Jumaat kecuali Solat Istisqa dalam bentuk al-Ibtihaal, ketika bertasyahhud dalam solat dan sewaktu membaca zikir, pujian dan tahlil di luar solat. 

Hal ini tercatat dalam hadis berikut: 'Umarah bin Ru'aybab berkata: "Aku melihat Bisyr bin Marwan mengangkat kedua tangannya (ketika menjadi khatib) di atas mimbar." 'Umarah lalu berkata kepadanya: "Semoga ALLAH memburukkan kedua tanganmu ini, kerana aku telah melihat Rasulullah SAW ketika menjadi khatib tidak menambah lebih dari yang seperti ini." Dan beliau ('Umarah) sambil mengisyaratkan dengan jari telunjuk. (Riwayat Muslim)

SUMBER HALAL

Sewaktu genting, kecemasan dan diuji ALLAH hamba mengangkat kedua tangannya dalam bentuk al-Ibtihaal, Hamba berdoa dengan mengangkat kedua belah tangan setinggi-tingginya sehingga ruang ketiak terbuka. 

Begitulah tiga bentuk mengangkat tangan ketika berdoa. Mungkin selepas itu timbul persoalan sapu muka atau tidak selepas berdoa. Hadis yang membicarakan hal ini hadisnya bertaraf daif Riwayat Tirmizi, bahawa Nabi SAW apabila mengangkat tangannya ketika berdoa, tidaklah beliau meletakkan (menurunkan) keduanya sampai baginda mengusapinya pada wajahnya (mukanya)."

Justeru, pastikan sumber hidup kita datang daripada sumber yang halal. Banyak mana program dianjurkan dengan dibaca doa kalau dalam diri penuh perkara haram tidak ada gunanya.

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai manusia, sesungguhnya ALLAH itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik-baik sahaja. Sesungguhnya apa-apa yang ALLAH perintahkan kepada orang mukmin itu sama sebagaimana yang diperintahkan kepada rasul.

USTAZ MOHD SALAHUDDIN MOHAMED, Penulis ialah Editor Agama di Dewan Bahasa & Pustaka


0 comments:

share2