Kuala Lumpur – Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota parti memberikan fokus pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi dan bukannya pemilihan parti.
Perdana Menteri berkata beliau dapat ‘menghidu’ terdapat anggota parti yang lebih berminat kepada pemilihan UMNO.
“Saya nampak ada (anggota) main tali halus. Saya dah lama dalam politik boleh baca, saya tahu dia sokong siapa. Nak main tali halus sikit tak apa tapi jangan hilang fokus dan hala tuju,” katanya dalam ucapan penggulungan pada akhir Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, semalam.
Najib berkata dengan masalah dalaman UMNO yang kini telah diselesaikan, tumpuan anggota UMNO sekarang seharusnya ke arah menghadapi PRU14 untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang bergaya.
“Kalau lihat pada roh perjuangan, kita semua mempunyai satu iltizam, sudah selesai masalah dalaman UMNO. (Sekarang) nak hadap ke mana? mana? PRU14, bukan pemilihan UMNO,” katanya.
Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang bakal berakhir pada Jun 2018, manakala pemilihan UMNO yang kali terakhir diadakan pada Oktober 2013 dan sepatutnya diadakan tahun ini ditunda selama 18 bulan.
Perdana menteri turut mengingatkan supaya tidak leka dibuai kemenangan dalam pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Perak serta Parlimen Sungai Besar, Selangor, sebaliknya meneruskan kerja keras untuk memastikan kejayaan dalam PRU14.
“Kita mesti sedar kemenangan dalam satu, dua (pilihan raya kecil) tak semestinya kita akan menang waktu ujian besar nanti (PRU14). Ini kita mesti sedar,” tegasnya.
Najib turut memberi amaran kepada anggota parti agar tidak sesekali memandang rendah kepada kemampuan pihak lawan serta mempercayai sepenuhnya pungutan pendapat mengenai sesuatu pertandingan.
Beliau memberikan contoh mengenai rancangan Britain yang ingin keluar dari Kesatuan Eropah dan keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang dimenangi calon Republikan Donald Trump sebagai antara contoh pungutan pendapat
yang kurang tepat.
“Cuma kalau kita kerja sebagai satu pasukan, dalam satu ikatan macam lagu ‘Gurindam Jiwa’ – ‘rambut tersimpul mati’ – dari atas sampai bawah pasti UMNO dan BN akan menang lagi dalam PRU,” katanya.
Najib dalam sidang media selepas ucapan penggulungannya, enggan mengulas sama ada PRU14 akan diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Selain ‘feel good factor’, banyak faktor perlu diambil kira dan diambil penilaian, berdasarkan keadaan dan sikap rakyat dan keberkesanan usaha kerajaan dalam penyampaian mesej.
“Sebab itulah kita kena beri tempoh untuk jentera kita melakukan kerja-kerja yang sepatutnya. Tugas kita sekarang ini ialah untuk memenangi hati rakyat. Pastikan rakyat bersama dengan kita. Inilah yang saya nak setiap ahli UMNO dan jentera kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata usaha akan ditumpukan untuk mendekati, menyelesaikan masalah rakyat dan menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.
“Soal perpaduan dan kepimpinan kita yang kukuh dan ampuh, dan soal roh perjuangan serta motivasi kita, sudahpun nampaknya kita letakkan dalam keadaan yang sangat baik, dan kita bersedia untuk mara ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, dalam ucapan penggulungannya, Najib berkata pemerhati luar yang hadir ke perhimpunan kali ini melihat UMNO sebagai parti yang unik kerana perjuangannya tidak hanya memfokuskan kepada lebih tiga juta anggota parti, tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Dalam perbahasan tiga hari ini, UMNO tidak fikir mengenai anggotanya sahaja tapi 31 juta rakyat Malaysia. UMNO ingin jadi parti penggerak transformasi nasional,” katanya
0 comments:
Post a Comment