Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 10, 2016

KAKAK RAYU BANTU ADIK TERLANTAR


Kakak rayu bantu adik terlantar


Kluang - Seorang kakak terpaksa berkorban menjaga adik bongsunya, Nurhasyimah Isa, 16, sakit terlantar akibat kemalangan yang menimpanya bersama ayah dan ibu mereka pada 5 Ogos lalu.

Nur Hafizah, 28, anak sulung daripada empat beradik berkata, kemalangan menimpa keluarganya itu menyebabkan ibunya Jamilah Sujak, 57, meninggal dunia manakala ayahnya, Isa Kasman, 54, serta adik bongsunya, mengalami cedera parah.

Menurutnya, melihat keadaan adik bongsunya itu menyebabkan dia mengharap bantuan orang ramai untuk mendapatkan keperluan perubatan termasuk susu khas serta lampin pakai buang.

“Keadaan adik seperti dahulu yang mana semua anggota badannya tidak mampu digerakkan dan hanya terlantar di atas katil sahaja.

“Setelah hampir sebulan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, adik saya kini terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (Johor Bharu) bagi memudahkan mereka memberikan perhatian sewajarnya.

“Adik kini seperti budak kecil, tidak boleh bercakap dan hanya akan merengek menangis apabila menginginkan sesuatu atau membuang air besar. Manakala untuk mengalas perut dia hanya boleh minum susu khas disarankan hospital.

“Sementara itu, ayah hanya duduk di rumah kerana mengalami gangguan mental selepas kemalangan yang menyebabkan diri ayah kadang-kadang lupa dan meracau tidak menentu,” katanya ketika ditemui di HEBHK sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pagi semalam.

Nur Hafizah yang tinggal di Taman Pulai Indah, Kluang berkata, kini dia hanya mengharapkan wang gaji ayahnya bagi menampung keperluan adik bongsunya itu.

Menurutnya, melihat kepada keadaan ayahnya itu dia sendiri tidak yakin ayahnya akan dapat meneruskan pekerjaan pada pertengahan bulan ini.

“Saya sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, terpaksa berhenti kerja untuk beri tumpuan kepada adik di hospital. Manakala adik kedua bekerja sebagai pembantu menjual tudung di samping menguruskan ayah di rumah.

“Keadaan ini menyebabkan kami kehabisan dana untuk menguruskan soal perubatan mereka berdua. Ia mendorong saya mengharapkan ihsan orang ramai membantu apa yang patut terutama sekali keperluan adik di hospital,” katanya.

Nur Hafizah berkata, sekiranya ada yang ingin menyalurkan sumbangan bantuan boleh terus menyalurkannya di dalam akaun Bank Islam 01041027034746 atau menghubunginya di talian 011-13323158.


0 comments:

share2