Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 4, 2016

JEMAAH DINASIHATI IKUT JADUAL MELONTAR ELAK INSIDEN


haji


Makkah - Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati semua jemaah haji Malaysia agar mematuhi segala arahan termasuk jadual melontar di Jamrat semasa operasi Masya'ir bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ini kerana TH dan pihak Muassasah Asia Tenggara telah mengatur jadual sesuai bagi semua jemaah untuk berbuat demikian.

"Ingin saya nasihatkan agar jemaah haji mengikut sepenuhnya jadual yang telah kita aturkan untuk mereka seperti bila masanya untuk pergi melontar di Jamrat kerana kita lebih mengutamakan soal-soal keselamatan.

"Jika ada yang mengambil tindakan tersendiri, kita bimbang mereka akan terperangkap dalam kesesakan orang ramai yang akhirnya nanti boleh menimbulkan masalah yang lain," katanya kepada pemberita semasa memberikan taklimat mengenai Operasi Masya'ir kepada media Malaysia di Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj Janadriyah di sini pada Jumaat.

Operasi Masya'ir itu membabitkan wukuf di Arafah bermula pada 9 Zulhijjah iaitu pada 11 Sept ini yang kemudiannya bermalam di Muzdalifah, Mina dan seterusnya melontar di Jamrat yang berakhir pada 13 Zulhijjah.

Operasi itu adalah kemuncak kepada ibadat haji dan dijangkakan hampir dua juta jemaah haji seluruh dunia akan berada di Arafah pada masa itu.

Pada musim haji ini, tempat melontar di Jamrat untuk jemaah haji negara telah ditetapkan di kawasan tingkat tiga iaitu sama seperti tahun-tahun sebelum ini.


0 comments:

share2