Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 18, 2016

[JERANTUT] TIGA PROJEK DALAM PERHATIAN


Tiga projek dalam perhatian


Pembinaan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut antara tiga projek kemudahan asas yang berada dalam perhatian kerajaan pusat untuk direalisasikan.

Ahli Parlimen, Ahmad Nazlan Idris, berkata, dua projek lain ialah Balai Polis Kuala Tahan dan rumah kakitangan serta menaik taraf Hospital Jerantut.

Beliau berkata, permohonan projek berkenaan sudah dikemukakan kepada kerajaan pusat dan beliau bertemu sendiri dengan menteri berkenaan untuk melestarikan hasrat penduduk di Jerantut yang dahagakan pembangunan pasca merdeka.

“Hasrat untuk mempercepatkan projek IPD baharu dan Balai Polis Kuala Tahan juga sekali lagi telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Umno di sini, Sabtu lalu dan sudah mendapat perhatian beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Batu Satu, di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Ahmad Nazlan menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 kepada empat keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Batu Satu, berdekatan Jalan Jerantut - Benta, di sini tiga hari lalu.

Beliau berkata, projek itu amat penting berasaskan pertambahan penduduk serta pembangunan dalam sektor pelancongan, pertanian dan industri sehingga ini kian rancak di daerah ini.

“Kompleks IPD di sini yang baharu penting sejajar tugas perluasan operasi keselamatan awam selain keselesaan kebajikan dan logistik untuk pegawai serta anggota polis berkhidmat di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, sebuah balai polis baharu di Taman Negara Kuala Tahan patut direalisasikan berasaskan pertumbuhan sektor pelancongan membabitkan kehadiran ramai pengunjung dari seluruh dunia yang perlu diberi perhatian.

“Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan lain seperti pencerobohan pendatang tanpa izin di hutan tropika,” katanya. 

Ahmad Nazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut berkata, premis IPD yang beroperasi hari ini dibina sejak zaman kolonial dan kelihatan uzur selain kemudahan logistik bagi semua cawangan perlu disatukan beroperasi dalam sebuah bangunan baharu.

“Kita buat permohonan mengikut saluran yang betul dan berharap projek ini direalisasikan dalam rancangan pembangunan kerajaan pada masa akan datang,” katanya. 

Sementara itu, mangsa kebakaran Kampung Batu Satu, Roslan Deris, 44, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Pejabat Parlimen Jerantut yang prihatin dengan nasib mereka.

“Wang ini untuk kegunaan keperluan makanan dan kebajikan keluarga dalam tempoh pemulihan, tapi masih tak cukup untuk beli peralatan untuk bina rumah baru,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak lain boleh membantu untuk membina kediaman semula kerana pendapatan yang diperoleh dari perniagaan kecil-kecilan tidak cukup.


0 comments:

share2