Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 3, 2016

PULANG KE KAMPUNG KERANA LABU SAYONG


Pulang ke kampung kerana labu sayong


Kuala Kangsar - Minat mendalam kepada pembuatan labu sayong telah membawa seorang ibu tunggal beranak dua pulang ke kampung halamannya, Kampung Sayong Tengah, selepas bekerja di Kuala Lumpur lebih 30 tahun. 

Zaitun Ahmad, 55, yang pernah bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang industri elektronik di ibu kota mempunyai dua orang anak yang masing-masing sedang melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham, Semenyih dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan masing-masing dalam jurusan psikologi dan perakaunan. 

"Suami akak meninggal dunia Oktober tahun lepas, jadi akak ambil keputusan untuk balik kampung. Akak memang minat seni. Akak belajar tengok orang lain buat dalam masa dua hingga tiga bulan, daripada situ akak belajar. Alhamdulillah sekarang akak dah boleh buat sendiri. 

"Akak buat perniagaan (labu sayong) lebih kepada mengisi masa lapang, bukan punca rezeki utama keluarga akak. Akak rasa puas bila dapat buat labu sayong ini. Akak ada duit pencen arwah suami akak tapi mungkin memang sudah ada dalam darah akak dan akak memang minat sebab itu akak boleh buat," katanya kepada Bernama, di sini. 

Zaitun berkata terdapat perbezaan dalam menghasilkan labu sayong secara tradisional jika dibandingkan dengan cara moden yang banyak diguna pakai oleh pembuat labu sayong masa ini.

"Kaedah tradisional lebih rumit. Tanah yang digunakan akan diambil dari Sungai Sayong sebelum dijemur sehingga kering. Tanah tersebut seterusnya akan ditumbuk menggunakan lesung kaki sehingga halus sebelum diayak untuk memastikan tanah itu benar-benar halus. Tanah itu kemudian dicampur dengan air untuk dijadikan doh sebelum dibentuk. 

Katanya, kini campuran tanah liat lebih mudah untuk dihasilkan kerana terdapat mesin pemprosesan yang boleh mencampurkan tanah, air dan sodium pada masa yang sama. 

"Enam guni tanah dengan berat masing-masing 20 kilo(gram) akan dicampur bersama dengan air dan sodium. Satu bancuhan itu boleh hasilkan kira-kira 1,000 labu sayong bersaiz kecil. Akak memang buat saiz kecil sahaja dan akak guna acuan. Lepas tanah dibancuh akan terus masuk dalam acuan," katanya.

Zaitun berkata tanah di dalam acuan akan diisi beberapa kali untuk memastikan bentuk dan tanah itu sekata sebelum acuan diterbalikkan selepas 45 minit bagi membuang tanah lembut yang berada di tengah labu itu untuk membentuk lubang. 

"Selepas tiga hingga ke empat jam dalam acuan baru kita boleh keluarkan sebab labu dah separa kering. Selepas itu, proses luru atau melicinkan labu. Akak boleh kemaskan atau licinkan dalam 200 hingga 300 labu sayong yang telah separuh kering itu dalam masa satu hari. Kemudian akak akan jemur lagi sehingga betul-betul kering untuk dibakar. 

"Proses pembakaran ambil masa sehingga 12 jam. Suhu pembakaran pula mencecah 800 darjah selsius dan ambil masa dua hari sebab dia akan bakar pada waktu malam. Selalu akak minta tolong (orang) lelaki yang tolong bakarkan. Ikut permintaan ada yang kita masukkan dalam serbuk kayu lepas dibakar bagi mendapatkan warna hitam," katanya. 

Beliau yang memulakan perusahaan labu sayung kira-kira tiga tahun lepas berkata kira-kira 1,000 labu sayung akan dihasilkan mengikut pemintaan pelanggannya dengan harga yang bermula daripada RM1.20 hingga ke RM1.60 setiap satu mengikut corak dan warna. 

"Akak buat labu sayung bersaiz kecil yang kebanyakkannya orang gunakan untuk dijadikan hadiah (cenderahati) semasa kenduri perkahwinan atau majlis-majlis keraian. 

Katanya, sejarah labu sayong itu memang berasal daripada Kampung Kepala Bendang di Mukim Sayong dan menjadi terkenal sehinggalah ke kampung-kampung di sekitarnya. 

"Sepanjang-panjang kampung dari Kampung Kepala Bendang, Kampung Sayung Tengah, Hilir, Hulu Kampung Sayung Lembah kebanyakannya mengusahakan labu sayung. Kita boleh tengok setiap rumah ada labu sayung yang dipamerkan seolah-olah telah menjadi identiti kepada mukim Sayung ini.

"Akak sebagai anak kelahiran kampung ini memang merasa bangga sebab dengan adanya labu sayung ini boleh membantu memberi rezeki kepada pengusahanya dan juga sebagai promosi kepada kampung akak," katanya yang lebih mementingkan kualiti produk yang dihasilkan berbanding kuantiti.


0 comments:

share2