Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 14, 2016

PENJENAMAAN SEMULA SAMBAL HITAM


Penjenamaan semula sambal hitam


Tidak menyangka rezekinya semakin murah selepas melakukan penjenamaan semula produk Sambal Hitam Menangis, Mr Melting menerima tempahan 800 botol dalam tempoh seminggu.

Bekas pelajar Politeknik Shah Alam, Muhammad Kairul Azman Matori, 23, berkata Ramadan tahun ini membuka pintu rezeki kepadanya dan tempahan semakin meningkat saban hari.

“Seiring dengan penjenamaan semula ini, saya turut melakukan pembaharuan dalam resipi sambal tradisional Pahang ini.

“Rasa asal diperbaharui menggunakan resipi turun temurun emak dengan rasa lebih pedas berbanding dahulu,” katanya.

Sesuai dengan tagline Sambal Hitam Menangis, Muhammad Kairul meningkatkan skala kepedasan sambal itu dengan rasa lebih enak.

Giat melakukan pelbagai promosi bagi melebarkan empayar perniagaannya, dia menyasarkan permintaan meningkat kepada 3,000 botol sebulan.

“Bagi mengukuhkan jenama Mr.Melting, saya turut merancang untuk menambah beberapa sambal tradisi lain.

“Antaranya, sambal kicap, acar ikan masin, bubur nasi bersama sambal hitam serta sambal hijau,” katanya.

Kebanyakan sambal yang dipilih adalah makanan sinonim dengan masyarakat kita dan wajib di hidang setiap masa.

Baginya, elemen paling penting dalam sambal adalah ketahanan selama setahun selepas menggunakan teknik pensterilan.

“Sambal hitam ini mampu bertahan selama setahun jika plastik pembungkusan tidak dibuka dan empat hingga enam bulan selepas dibuka.

“Selain pembungkusan diperbaharui, saya juga merancang untuk mempelbagaikan saiz sambal bagi kemudahan pelanggan,” katanya.

Didatangkan dalam pelbagai saiz, Sambal Hitam Menangis mempunyai tiga saiz berbeza iaitu 200 gram (RM15), 150 gram (RM13) dan 100 gram (RM10).

Bukan sahaja boleh didapati di pasaran tempatan, Mr.Melting bakal melangkah lebih jauh ke pasaran Singapura tidak lama lagi.

“Kemasukan ke pasaran baharu merupakan satu cabaran bagi saya terutamanya masyarakat Singapura tidak tahan rasa pedas.

“Agak berbeza dengan rakyat Malaysia yang tidak boleh lari dengan pelbagai jenis sambal untuk hidangan petang dan malam,” katanya.

Penglibatan dalam ekspo antarabangsa di Sinngapura Halal Incorporating Food and Lifestyle 2016 bersama lima pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain membuka peluang peniaga kecil sepertinya.

Muhammad Kairul tidak menyangka perniagaan yang belum pun mencecah dua tahun melangkah setapak dalam tempoh singkat.

Bagi menampung permintaan sekarang, dia kini giat menambah lebih ramai ejen daripada 50 ejen sedia ada, mereka yang berminat boleh mengunjungi Instagram, Sambal Hitam Menangis HQ.


0 comments:

share2