Sungai Besar - Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar, sedang dalam perancangan membaik pulih rumah seorang nenek, Sariah Tamsir, 74, yang menjaga lima cucunya di Parit 13 Sungai Panjang, bagi memberikan keselesaan kepada keluarga berkenaan.
Ketuanya, Muhd Akhrizan Mohamed berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi untuk menyalurkan peruntukan kira-kira RM5,000 bagi kerja baik pulih rumah yang dijangka dapat disiapkan selepas Aidilfitri ini.
Menurutnya, bantuan baik pulih rumah itu meliputi kerja menukar siling, bumbung bocor, lantai dan tandas.
“Kami telah menziarahi rumah makcik ini dan amat simpati dengan nasib mereka sekeluarga.
“Buat permulaan, kami cuba baik pulih rumah ini dulu memandangkan untuk membina PPRT (projek perumahan rakyat termiskin), saya difahamkan peruntukan di setiap parlimen hanyalah satu atau dua rumah setahun,” katanya.
Muhd Akhrizan berkata, pada lawatannya bersama kira-kira 15 jawatankuasa Pemuda Umno bahagian itu turut menyampaikan sumbangan wang raya dan minuman kepada keluarga berkenaan.
Beliau berkata, bagi meraikan nenek dan cucunya itu, pihaknya turut membawa mereka membeli-belah di sebuah kedai pakaian di Sungai Besar.
“Kami harap sumbangan ini setidak-tidaknya meringankan penderitaan yang terpaksa dilalui mereka terutama dalam menyambut Syawal.
“Saya hiba bila mereka kata masih tiada baju raya. Saya bersama rakan-rakan Pemuda Umno bawa mereka beli dua pasang pakaian yang sesuai untuk dipakai pada hari lebaran ini,” katanya.
Sinar Harian 2 Julai lalu, melaporkan lima beradik yatim piatu yang dijaga nenek mereka sejak lebih setahun lalu dihimpit kemiskinan dan hidup di rumah serba kekurangan.

0 comments:
Post a Comment