Shah Alam - Golongan muda hari ini lebih terdedah kepada fahaman ekstremisme dan militan IS disebabkan maklumat diterima terus dari media sosial.
Pakar psikologi Fakulti Pendidikan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Dr Fauziah Hanim Abd Jalal berkata, remaja lebih mudah terpengaruh dan terikut sesuatu perkara kerana faktor psikologi mereka cenderung mempercayai berbanding menilai kesahihannya.
“Ekstremisme adalah pendekatan mental yang boleh dipengaruhi oleh aspek-aspek berbeza.
“Pelajar universiti menjadi sasaran organisasi tertentu untuk dipengaruhi dengan fahaman ekstremisme kerana faktor psikologi mereka. Antara faktor itu adalah perkembangan individu, persekitaran sosial dan pendedahan awal sewaktu kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, anggapan remaja bahawa agama membenarkan keganasan adalah tidak tepat.
“Secara asas bukan agama membenarkan keganasan tetapi sosial dan pendedahan daripada pihak tertentu yang menggunakan bakat remaja dan emosi bagi membenarkan tujuan mereka.
“Remaja melalui peringkat tekanan dalam mencari identiti diri dan di peringkat ini jika kurang didikan keluarga, tekanan dan terbiar menyebabkan remaja rapuh lalu termakan janji manis IS,” katanya.
Jelasnya, kelemahan keluarga dari sudut pemantauan punca generasi muda terlibat dalam aktiviti berisiko.
“Masyarakat perlu didikan untuk faham bahawa pengebom berani mati juga adalah manusia biasa tetapi mereka telah sesat dan dieksploitasi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment