Pasir Mas - Warga emas, Mek Som Mat Diah, 89, yang putus pergelangan kaki kiri selepas ditetak oleh seorang remaja dalam kejadian 19 Jun lalu terharu menerima kunjungan dari Tengku Puan Temenggong Kelantan, Datuk Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Mek Som yang hanya mampu terlantar di atas tilam dilihat sempat melontarkan senyuman dan mengalirkan air mata sebagai tanda terharu menerima kunjungan tersebut.
Sungguhpun kelihatan masih letih, namun Mek Som yang memakai baju bunga-bunga kelihatan bersemangat menceritakan keadaan semasa dirinya kepada Tunku Noor Hayati.
Dalam kunjungan tersebut, Tunku Noor Hayati yang merupakan Pengerusi Yayasan Noor Al-Syakur (Yanas) turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas berkenaan.
Turut hadir melawat Mek Som, Ketua Jajahan Pasir Mas Dr Che Hamat Che Muda bersama rombongan.
Tunku Noor Hayati ketika ditemui berharap semangat warga emas berkenaan pulih seperti biasa selepas ini.
“Saya lihat, Mek Som masih lagi letih mungkin banyak sangat menerima lawatan dari orang ramai selain terkejut dengan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sinar Harian 19 Jun lalu melaporkan, seorang warga emas putus pergelangan kaki kiri selepas ditetak seorang remaja yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mek Som turut cedera di bahagian muka dikatakan ditumbuk remaja berusia 19 tahun itu.
Ketika kejadian Mek Som tinggal bersama anak tunggalnya, Esah Dollah, 60, dan dikatakan sempat bergelut dengan suspek.
Difahamkan beberapa hari sebelum kejadian suspek dikatakan sering datang ke rumah mangsa untuk meminta wang namun permintaannya tidak dilayan.
Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 29 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun terhadap Mohd Fikri Noor Rosland, 19, selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan cubaan membunuh seorang warga emas dengan mengerat kakinya, dua minggu lalu.
Berikutan itu, kaki Mek Som terpaksa dipotong sehingga paras lutut bagi memastikan kecederaan tersebut tidak memudaratkan dirinya.

0 comments:
Post a Comment