Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 30, 2016

[KUANTAN] TAK KISAH ASAL REZKI HALAL


‘Tak kisah asal rezeki halal...’



Biarpun usianya sudah mencecah 61 tahun, seorang wanita warga emas terus mengerah keringat menyara keluarga dengan membaiki kasut.

Bertemankan kerusi dan sebuah meja, Normawati Atib tekun bersama-sama suami, Zulkarnain Sultan Kayuh, 71, membaiki kasut dihantar pelanggan demi mencari nafkah di sebuah kedai kecil di Jalan Mahkota, di sini.

Pasangan tersebut setia menunggu pelanggan datang menghantar kasut untuk dibaiki di kedai kecilnya itu setiap hari.

“Makcik tahu kerja ni kaum lelaki yang biasa buat (pelopori), tetapi tak kisahla asalkan makcik boleh mencari rezeki untuk sara kami sekeluarga,” ujarnya ringkas.

Garis-garis kasar dan urat di tapak tangannya yang timbul bersama kedutan raut wajah ketika membaiki kasut pelanggan membuktikan kerja yang dilakukan warga emas itu bukanlah mudah.

Menurutnya, dia mula menolong suami di kedai kasut ini sejak empat tahun yang lalu.

“Suami saya membuka kedai membaiki kasut ini sejak tahun 1980 lagi, masa itu dia seorang yang menguruskannya manakala saya menjaga anak-anak yang masih kecil ketika itu.

“Namun selepas anak-anak semuanya sudah besar, saya mula tolong suami. Mula-mula buat kerja ringan-ringan macam sapu gam, lama-kelamaan saya boleh jahit kasut yang dihantar oleh pelanggan,” katanya yang mempunyai lima orang anak berusia 26 hingga 44 tahun.

Baginya, tiada istilah malu dalam melakukan kerja sedemikian apatah lagi dipandang rendah sebahagian mereka yang tidak tahu betapa besarnya nilai dan sumbangan tukang kasut.

“Ramai yang kagum, ada juga yang tak percaya kerana kerja ini selalunya dilakukan orang lelaki, sedangkan saya dah tua.

“Saya buktikan peranan wanita bukan sekadar duduk di rumah atau bekerja dalam bilik hawa dingin, tapi wanita hari ini lebih cekal dan sanggup bekerja di kaki lima demi mencari rezeki,” katanya.

Dia yang menyewa sebuah bilik bersama suami berhampiran kedainya berkata, wanita boleh melakukan kerja yang lebih mencabar, dari kaki lima hinggalah ke gerbang pejabat indah.

“Bagi saya, rezeki ada di mana-mana selagi kita ada kemahuan dan rajin berusaha,” katanya.

Katanya, dia dan suaminya hanya mengambil upah serendah RM5 sehingga RM50 bagi setiap kasut yang dibaiki malahan ada juga pelanggan yang datang ke situ ditolong tanpa sebarang bayaran.

“Membuka kedai baiki kasut susah nak kaya, tapi Alhamdulillah cukup untuk besarkan anak-anak.

“Pendapatan sebagai tukang kasut tak menentu. Kadang-kadang ada pelanggan, kadang-kadang tak ada,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan yang menghantar kasut untuk dibaiki namun tidak mengambil kembali.

"Jadi selepas enam bulan, kasut tu akan dijual atau diberi kepada orang lain,” katanya.




0 comments:

share2