Status bapa tunggal bukan penghalang kepada Sinin Bagiran, 54, untuk memikul peranan sebagai ibu dan bapa pada masa yang sama kepada tiga anaknya termasuk seorang golongan kurang upaya (OKU).
Menurutnya, sejak berpisah dengan isterinya empat tahun lalu, tugas menjaga Nurul Nizam, 24, tergalas dibahunya dengan dibantu dua anaknya serta saudara-mara yang tinggal berdekatan.
Katanya, Nurul Nizam pernah mengalami demam panas pada usia empat tahun dan berikutan kekurangan pengalaman mengenai sakit berkenaan ketika itu, menyebabkan anaknya itu mengalami kecacatan fizikal.
“Saya reda dengan ketentuan hidup ini. Sekarang, semuanya saya uruskan sendiri. Sebelum kerja, saya masak dulu supaya anak bongsu saya Puteri Nur Ain yang berumur 12 tahun dapat beri abangnya makan.
“Kebetulan, dengan kerja yang saya buat sekarang, memudahkan saya menguruskan masa sendiri. Jadi, waktu pagi, saya hantar Puteri Nur Ain ke sekolah dulu, dan dalam pukul 10 pagi barulah saya pergi kerja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sinin memberitahu, sementara menunggu Puteri Nur Ain pulang dari sekolah, dia terpaksa meninggalkan Nurul Nizam bersendirian di rumah, namun sempat berpesan kepada adik kandungnya dan saudara-mara yang lain untuk kerap meninjau keadaan anaknya itu.
“Saya bekerja sebagai pembekal telur ayam segar selalu ke Mentakab untuk ambil bekalan sebelum edar ke kedai runcit di Mentakab, Temerloh, Chenor dan Bera.
“Selain itu, saya juga buat beberapa pekerjaan sampingan seperti sediakan perkhidmatan pengangkutan dan khemah bagi menambah pendapatan menampung keperluan kami sekeluarga," katanya.
Menurutnya, Nurul Nizam ada menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 setiap bulan dan dengan bantuan itu, Sinin membelikan lampin pakai buang untuk keperluan harian Nurul Nizam.
“Buat masa ni, pendapatan saya cukup untuk tampung keperluan semua anak-anak di bawah tanggungan saya. Cuma, kadang-kadang saya kurang masa dengan anak sebab bekerja.
“Tapi, setakat ni Puteri Nur Ain dan abangnya Mohd Amri yang berumur 21 tahun banyak membantu semasa saya tiada di rumah. Saya lega dan bersyukur kerana anak-anak saya sayangkan abang mereka,” katanya.
Sinin berkata, walaupun Mohd Amri jarang berada di rumah kerana mempunyai urusannya sendiri namun dua orang anaknya yang sudah berkahwin turut meluangkan masa menjenguk Nurul Nizam.
Difahamkan, semasa kunjungan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Mempaga, Azril Ramli bersama ahli MBFM yang lain ke rumahnya baru-baru ini, Sinin tiada di rumah sementara Nurul Nizam hanya ditemani Puteri Nur Ain.
Bagaimanapun, Nurul Nizam kelihatan gembira menerima kunjungan itu dan tidak menunjukkan perasaan takut walaupun pada pertama kali bersua muka.
0 comments:
Post a Comment