Kasih sayang seorang wanita terhadap suaminya tidak pernah pudar walaupun lelaki itu kini terlantar di katil dan tidak mampu bercakap.
Nor Harlina Hussain, 49, berkata, sejak suaminya, Hata Ludin, 56, disahkan mengalami strok pada 2013, dia menerima keadaan tersebut dengan hati tenang.
Menurutnya, dia perlu kuat kerana bermula saat itu, dia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, apatah lagi tujuh daripada lapan anaknya yang berusia dari 15 tahun hingga 24 tahun masih belajar.
Katanya, empat anaknya masih bersekolah, tiga orang sedang menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi awam, manakala seorang lagi baru bekerja selepas tamat pengajian.
“Suami terpaksa bersara awal disebabkan masalah kesihatan dihadapinya dan kami bergantung pada wang Perkeso dan gaji saya sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa).
“Buat masa ini, keadaannya baik dan lebih gemar duduk di kerusi sambil menonton televisyen, tapi dia tak boleh duduk lama,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Dun Lepar di Taman Mahkota Aman, di sini.
Turut serta, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Adun Lepar, Datuk Sohaimi Jusoh.
Sementara itu, Abdul Manan berkata, program itu diadakan bagi menziarahi mereka yang mengalami sakit kronik di kawasan tersebut.
Beliau berkata, bantuan sewajarnya dihulurkan bagi meringankan beban mereka untuk menyambut hari raya.
“Kita juga boleh mengumpul maklumat mengenai masalah atau jenis bantuan yang diperlukan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sebanyak 19 rumah di lawati dengan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai.
0 comments:
Post a Comment