Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad dan isteri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menghadiri majlis khatam al-Quran Rakan Muda Peringkat Negeri Pahang di Masjid As Siddiqin, Jengka 15, di sini kelmarin.
Majlis yang dihadiri lebih 500 penduduk setempat serta disertai 400 belia seluruh negeri itu dimulakan dengan program bacaan al-Quran beramai-ramai yang turut disertai Tengku Abdullah.
Pada majlis berkenaan, pasangan diraja itu turut mengikuti tazkirah ringkas sebelum berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah bersama rakyat.
Tengku Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kepada golongan asnaf.
Tengku Abdullah bertitah, program berkenaan aktiviti berfaedah dalam usaha melahirkan belia yang baik, berakhlak dan menghayati makna serta ajaran al-Quran.
“Penganjuran program seumpama ini perlu diperbanyakkan dan diteruskan pada masa depan memandangkan Ramadan adalah bulan yang berkat dan sebagai umat Islam, kita perlu berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah bagi meraih pahala berganda.
“Sambutan Ramadan pasti tak lengkap jika kita tidak mengimarahkan masjid dan surau.
“Imarahkan masjid dan surau pada Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan yang menjadi platform pembangunan umat Islam yang sempurna, rohani dan jasmani,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah supaya Felda tidak melakukan pemotongan gaji atau duit raya yang banyak terhadap peneroka pada musim perayaan ini.
Baginda turut menyuarakan rasa puas hati terhadap sumbangan Felda dalam membangunkan kesejahteraan peneroka selain menyarankan rakyat supaya memperkukuhka jalinan silaturahim sesama insan.
Majlis tersebut turut dihadiri Exco Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Datuk Kamarulzaman Hassan Mansor; Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Imail; Presiden Majlis Belia Pahang, Khairul Amin Osman dan Pengerusi Majlis Belia Maran, Zafril Nasir serta wakil jabatan berkaitan.

0 comments:
Post a Comment