Menglembu – Tiada istilah baju raya, perhiasan rumah mahu pun kuih raya bagi seorang ibu tunggal apabila anaknya disahkan menghidap kanser usus tahap empat tahun lalu.
Amimah Abdullah, 40, berkata, anaknya, Nor Atiqah Fatimah Yazip yang kini berusia 19 tahun terlantar sejak dua bulan lalu selepas kesihatannya semakin teruk.
Menurutnya, anak tunggalnya itu bukan sahaja menghidap kanser tetapi lain-lain penyakit termasuk anemia, tekanan darah rendah, kadar gula tinggi dan tiada garam di dalam badan.
“Nor Atiqah kerap masuk hospital, selalu pucat dan tidak bermaya. Dia hanya sempat bersekolah hingga tingkatan dua.
“Dia teringin hendak ke sekolah tetapi keadaan dirinya tidak membolehkan dia menjalani rutin harian sebagai seorang pelajar,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan kekurangan garam dalam badan, Nor Atiqah terpaksa dimasukkan air garam untuk seimbangkan keadaannya bagaimanapun rawatan tersebut terpaksa dihentikan kerana badannya menolak cecair berkenaan.
Katanya, air yang dimasukkan itu keluar semula melalui kesan suntikan di tangan dan kaki yang sebelum ini pernah digunakan untuk memasukkan darah.
“Saya kasihan dan sedih melihat keadaan dia. Saya ambil keputusan untuk bawa Nor Atiqah balik ke rumah.
“Dia juga trauma kerana sering dicucuk untuk dimasukkan darah. Setiap malam dia akan mengingau dan menjerit-jerit,” katanya.
Tambah Amimah, sejak akhir-akhir ini anaknya kerap cirit birit sehingga memerlukan hampir 20 hingga 30 keping lampin pakai buang dalam sehari.
“Apabila dia makan, pasti akan keluar semula sama ada dalam bentuk muntah atau cirit birit. Selalunya dia akan makan sup dan minum susu serta beberapa buah-buahan seperti pisang dan epal,” katanya.
Katanya, Nor Atiqah mempunyai selera makan yang tinggi tetapi dia tidak dapat menerima makanan itu dan hanya mampu melihat sahaja.
Sebagai seorang ibu, Amimah sentiasa memenuhi semua permintaan anaknya terutama dari segi makanan.
Apa sahaja yang diinginkan atau diidamkan Nor Atiqah, dia akan cuba sehabis baik untuk mendapatkannya atau membuatnya sendiri.
Sempena raya ini, Nor Atiqah teringin makan kuih semperit buatannya tetapi dia mempunyai kekangan dari segi masa kerana perlu menyalin lampin pakai buang setiap jam.
“Raya kali ini seperti hari-hari biasa tambahan pula Nor Atiqah hanya terlantar dan tidak dapat berjalan. Kami tunggu saudara mara datang ke rumah sahaja,” katanya.
Namun apa yang merunsingkannya kini, dia tidak mampu menampung keperluan lampin pakai buang anaknya yang semakin bertambah dan juga susu.
Amimah berkata, hanya susu yang dicadangkan doktor sahaja Nor Atiqah mahu minum namun harganya mencecah RM80 setin yang bertahan selama dua minggu.
Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM100 sebulan hasil membuat barangan kilang di rumah tidak mencukupi untuk keperluan anaknya.
“Buat masa ini saya menerima bantuan sewa rumah daripada Baitulmal sebanyak RM200 manakala bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membayar bil rawatan sekiranya Nor Atiqah masuk hospital.
“Saya hanya bergantung harap dengan gaji dan juga ihsan adik saya. Saya juga faham dia mempunyai keluarga dan anak yang perlu dijaga, jadi saya tidak mahu menyusahkannya,” katanya.
Tambah Amimah, sejak akhir-akhir ini, Nor Atiqah menjadi runsing apabila terdengar bunyi bising sehingga pelawaan saudara mara yang mengajak kami tinggal bersama mereka terpaksa ditolak.
Menurutnya, ia bukan bermakna mereka sombong tetapi dalam keadaan sekarang keperluan dan keselesaan anaknya menjadi keutamaan.

0 comments:
Post a Comment