Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 11, 2016

[TEMERLOH] WANITA HAMIL, REMAJA DITAHAN


Wanita hamil, remaja ditahan


Seramai lima wanita termasuk seorang ibu hamil enam bulan antara 29 ditahan kerana positif dadah dalam serbuan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama polis cawangan narkotik Temerloh, semalam.

Dalam serbuan Ops Gempur yang disertai 50 penguat kuasa AADK dan polis di 15 kawasan panas di daerah ini semalam, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan tidak lagi bersekolah antara penagih paling muda ditahan di Kampung Bangau Tanjung.

Penolong Pengarah Rawatan dan Pemulihan AADK negeri, Wan Maisarah Wan Abu Mansor berkata, dalam operasi selama dua hari bermula jam 8 pagi kelmarin dan berakhir jam 1.30 tengah hari semalam, seramai 32 individu disyaki penagih dadah ditahan dan menjalani ujian saringan air kencing.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 29 orang didapati positif dadah jenis syabu dan heroin termasuk lima wanita yang ditahan di kediaman masing-masing.

“Kami menahan lima wanita termasuk seorang yang hamil enam bulan, penagih lelaki paling muda di Kampung Bangau Tanjung dan penagih paling tua berumur 47 tahun di Kampung Paya Luas.

“Serbuan dibuat di 15 kawasan panas sekitar daerah Temerloh termasuk di Felda Lakum, Lanchang dan Taman Tasik Chatin serta 13 kawasan kampung dan perumahan.

“Kelima-lima wanita yang positif dadah dikesan mengambil methamphetamine atau syabu,” katanya pada sidang media di pejabat AADK Temerloh, semalam.

Wan Maisarah berkata, salah seorang penagih lelaki ditahan di bawah pengawasan AADK mengikut Seksyen 8(3) manakala tiga lagi secara sukarela mendapatkan rawatan di Pusat Pemulihan di Benta.

Beliau berkata, tangkapan yang positif syabu telah diserahkan kepada polis cawangan narkotik.


0 comments:

share2