Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 11, 2016

[KUANTAN] SEMINAR LONJAK SEMANGAT CIKGU


Seminar lonjak semangat cikgu


Sempena sambutan Hari Guru yang disambut Isnin depan, kira-kira 600 orang peserta menghadiri seminar motivasi anjuran McDonald's Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, di sini, semalam.

Seminar yang pertama kali dianjurkan bersama tokoh motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah itu mengetengahkan tajuk ‘Memperkasa Guru sebagai Inspirer Kecemerlangan Pelajar’ mendapat sambutan menggalakkan daripada guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah seluruh daerah ini.

Menurut Pengarah Perhubungan Kerajaan McDonald’s Malaysia, Khairul Azmi Rezo, seminar yang julung kali diadakan itu dianjurkan khas buat guru-guru yang banyak berjasa.

“Memandangkan sambutan menggalakkan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, seminar khas untuk menghargai golongan pendidik ini akan diteruskan ke beberapa lokasi lain di seluruh negara termasuklah Johor, Terengganu dan Selangor.

“Kami yakin seminar yang dibawakan ini bertepatan dengan tema Hari Guru Kebangsaan 2016, Guru Pembina Negara Bangsa.

“Penganjuran seminar ini bukan sahaja sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat McDonald’s, malah melaluinya kami dapat membawakan motivasi kepada guru-guru untuk terus komited menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa,” katanya di Seminar Hari Guru Bersama Datuk Mohd Fadzilah Kamsah, di dewan utama Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Bukit Rangin, Saudi Jamil berkata, motivasi buat gurur-guru menjelang sambutan Hari Guru menaikkan semangat guru-guru.

“Seminar motivasi untuk warga pendidik ini mampu memberikan semangat baru sekali gus menjadikan kita lebih yakin sebagai inspirer yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Program seperti ini harus diadakan dari semasa ke semasa dengan memperluaskan kumpulan guru yang lebih besar agar kita sama-sama mendapat semangat baharu,” katanya.

Manakala Guru Penolong Kanan SMK Abdul Rahman Talib, Azora Mohamed Jabar @Aluwi berkata, guru baharu dan lama perlukan suntikan motivasi agar lebih terbuka.

“Mungkin selama ini kita ada buat benda betul dan salah yang kita sendiri tak sedar, jadi melalui cara ini kita dapat perbetulkan diri kerana dalam mendidik ini perlu lebih banyak pendekatan ketika berhadapan dengan pelajar.

“Dengan input seminar ini kita patut berkongsi dan memberi peluang kepada lebih ramai guru lebih cemerlang kerana kita adalah sumber inspirasi pelajar dan anak didik kita,” katanya.


0 comments:

share2