Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 9, 2016

[KUANTAN] PENIAGA CEDERA DISAMBAR API


Peniaga cedera disambar api


Sebuah kedai makan di pantai Batu Hitam, di sini musnah, manakala tiga premis lain rosak teruk akibat terbakar pagi semalam.

Kejadian pada kira-kira jam 9.30 itu turut mengakibatkan seorang peniaga cedera disambar api.

Adik mangsa, Mohd Faizal Johan, 46, berkata, kakaknya, Fizadatul Akma Johan, 48, berusaha memadamkan api yang keluar dari tong gas tetapi api menyambar badannya.

“Ketika sampai di kedai, api tengah marak. Saya tak mampu buat apa-apa kerana haba panas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Mohd Faizal berkata, kedai itu menjadi sumber pendapatan dia dan kakaknya sejak lebih 30 tahun lalu.

Adik ipar mangsa, Roslina Mohd Ramli, 40, berkata, ketika kejadian dia bersama kakak iparnya sedang menggoreng ayam untuk jualan mereka.

Katanya, api menyambar gas lain dan cubaannya untuk memadamkan kebakaran dengan kain basah gagal.

“Masing-masing panik kerana api semakin besar. Saya terus menarik kakak ipar yang ketika itu masih berusaha padamkan api,” katanya.

Roslina berkata, akibat kejadian itu, kakaknya melecur di lengan bahagian lengan serta paha kanan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh ahli keluarga mereka.

Katanya, kesemua barang di dapur kedai itu rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Seorang lagi peniaga, Ramli Md Isa, 43, berkata, dia sempat menyelamatkan sebahagian peralatan selepas melihat api merebak di sebelah kedainya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Hitam, Mohamad Amdan Sulaiman berkata, beliau berharap empat premis yang terjejas segera dibaik pulih.

Katanya, kedai makan yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 7 petang itu mendapat perhatian pelancong kerana lokasinya strategik di tepi pantai Batu Hitam yang menjadi antara lokasi pelancongan terkenal di Kuantan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Mohd Rassul Ghazali berkata, bomba menerima panggilan pada kira-kira jam 9.55 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, pasukannya berjaya mengawal kebakaran 25 minit kemudian membabitkan tiga jentera bomba dengan kekuatan 15 anggota.

“Kebakaran membabitkan empat gerai makan dan punca sebenar kejadian dan kerugian masih disiasat,” katanya.


0 comments:

share2