Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 7, 2016

[BENTONG] KES GORES DAN MENANG


PDRM


Empat warga emas termasuk pasangan suami isteri kerugian hampir RM300,000 selepas terpedaya dengan tawaran lumayan kad bertuah sindiket gores dan menang dalam tiga kes berasingan di Bentong, April lalu.

Sindiket didalangi enam suspek termasuk tiga wanita berusia 23 hingga 45 tahun itu dikenal pasti menjadikan golongan warga emas yang berurusan di institusi kewangan sebagai sasaran dengan menawarkan kad bertuah yang menjanjikan hadiah berupa tilam jongkong emas dan barangan elektrik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Azizan Md Isa berkata, hasil kerjasama mangsa yang membuat laporan polis, ketiga-tiga kes itu dianggap selesai apabila kesemua suspek berjaya ditahan untuk siasatan dan dihadapkan ke mahkamah 29 April lalu.

Kesemua suspek didakwa mengikut Seksyen 20(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara tiga tahun.

“Bagaimanapun suspek mengaku tidak bersalah sebelum dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang manakala 6 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Azizan berkata, hasil siasatan mendapati, suspek sebelum ini pernah memperdaya mangsa di Kepong dan Pulau Pinang sebelum beralih ke Bentong.

Menurutnya, dua daripada suspek tersenarai sebagai individu dikehendaki Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang manakala seorang lagi pernah ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkait kes gores dan menang.

Katanya, penahanan enam suspek itu susulan laporan polis dibuat seorang peneroka berusia 73 tahun yang mendakwa dia dan isteri menjadi mangsa sindiket gores dan menang sehingga kerugian RM83,000, 20 April lalu.

“Kejadian berlaku ketika pengadu (mangsa) baru selesai berurusan di Tabung Haji Bentong sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali sambil menghulurkan dua kad bertuah.

“Pengadu yang membuka kad diberikan diajak ke pejabat ‘syarikat’ di Rumah Rehat Bentong untuk mendengar penerangan mengenai hadiah dimenangi selain ditunjukkan senarai pemenang sebelum ini,” katanya.

Pengadu dan isteri dibawa ke Tabung Haji Raub menaiki kenderaan suspek untuk mengeluarkan wang bagi tujuan mendapatkan hadiah.

“Pengadu keluarkan RM6,000 manakala isterinya RM27,000 sebelum balik ke pejabat suspek dan menyerahkan semua wang berjumlah RM33,000 itu.

“Pada 20 April, pengadu dan isteri sekali lagi ke pejabat itu sebelum ke Tabung Haji Raub untuk keluarkan wang RM50,000,” katanya.

Selepas menerima wang RM83,000, suspek membenarkan pengadu membuka kad dan mendapati hadiahnya tiga set tilam mengandungi jongkong emas dan satu vakum.

Suspek turut berjanji menghantar satu lagi tilam dan wang tunai RM80,096 pada hari sama namun sehingga petang, suspek tidak muncul.

Menyedari tertipu, pengadu membuat laporan polis.

Beliau berkata, suspek juga dikenal pasti terlibat dalam dua lagi kes penipuan gores dan menang melibatkan mangsa dua warga emas berusia 60dan 70 tahun juga di daerah itu.

Azizan berkata, jumlah kerugian keseluruhan yang dialami mangsa berjumlah RM211,000.


0 comments:

share2