Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 14, 2016

[PEKAN] MASJID DIMINTA RUJUK JAIP


Masjid diminta rujuk Jaip


Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menegaskan supaya setiap masjid menjaga kesucian agama Islam dengan merujuk terlebih dahulu kepada jabatan sebelum menjemput penceramah luar negara.

Pengarah Jaip, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, rujukan itu sangat penting agar tidak timbul kekeliruan dan pelbagai tohmahan daripada pelbagai pihak.

“Kita memberi penekanan hanya kepada penceramah luar negara memandangkan rata-rata mereka tidak menjaga sensitiviti berkaitan beberapa perkara di negara ini.

“Ada di antara penceramah yang datang ini turut mencemuh penguatkuasaan yang dijalankan oleh jabatan agama.

“Terlalu banyak penceramah luar yang dibawa ke sini memandangkan ada di antara mereka disekat untuk berceramah di beberapa negara tetapi kita pula yang menjemput mereka," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Mesra Masjid di Dewan Konvensyen Pekan di sini, semalam.

Seminar yang dihadiri kira-kira 1,200 peserta dari empat buat daerah iaitu Pekan, Kuantan, Rompin dan Muadzam Shah itu dianjurkan oleh Jaip dengan kerjasama Majlis Daerah Pekan.

Dalam pada itu, katanya, kadi dan imam masjid perlu mengambil perhatian perkara tersebut dari semasa ke semasa.

“Setakat ini ia masih dapat dikawal walaupun ada beberapa masjid yang bertindak mendahulukan penceramah luar negara. Kita tidak mahu bila dijemput dan datang berceramah intipatinya tidak sesuai.

“Kita masih belum bertindak menyenaraikan nama-nama penceramah luar negara yang diharamkan di negeri ini seperti mana dilakukan di Johor, namun kita berharap pihak masjid merujuk dahulu jemputan.

“Kita giat melakukan pemantauan namun jika masih terdapat masjid yang terlepas menjemput sewenang-wenangnya atau ada aduan daripada jemaah dan orang ramai, tindakan tegas akan diambil,” katanya.


0 comments:

share2