Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 10, 2016

[KUANTAN] TANAM SAYUR DALAM PLASTIK TERPAKAI


Tanam sayur dalam plastik terpakai


Seorang juruteknik tidak menyangka percubaannya sejak enam bulan lalu menanam beberapa benih tanaman sayur-sayuran dengan hanya menggunakan botol plastik terpakai menunjukkan hasil yang baik.

Nik Ismail Nik Him, 42, berkata, antara benih pertama yang disemai dalam botol plastik terpakai di sekitar kediamannya ialah sawi, salad, tomato, cili dan daun sup.

“Ruangan kediaman saya amat terhad, jadi menerusi kaedah ini saya boleh menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di halaman rumah.

“Percubaan saya ternyata berhasil apabila benih ditanam dalam bekas tersebut segar, subur dan bersih.

“Selain botol plastik saya juga guna bekas polisterin ais dan tong cat untuk tanam pelbagai jenis sayur-sayuran ganti pasu-pasu bunga di bahagian luar rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jaya Gading di sini.

Menurutnya, kaedah lain turut diaplikasi antaranya menggunakan sistem ‘hidropot’, tanah, kaedah tanam terbalik dan tanaman paip PVC.

Katanya, semua kaedah yang digunakan adalah bekas yang dikitar semula, tidak memerlukan kos tinggi kerana ia dikutip dari tapak pembinaan dan tempat pembuangan sampah.

Dari segi kesegaran, kesuburan dan kebersihan tanaman katanya, tidak terjejas malah sama seperti mana hasil sayuran secara hidroponik.

Nik Ismail berkata, dia mempelajari teknik bercucuk tanam melalui laman sosial, Facebook dan beberapa rakannya yang mempunyai minat sama.

"Saya gemar mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa mencari kaedah lain. Saya juga menggunakan baja AB fertigasi dan ia terbukti menghasilkan tanaman berkualiti," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu mengaku pernah mengalami kegagalan apabila percubaan tidak menjadi disebabkan oleh keadaan cuaca atau tanah tidak sesuai.

“Kegagalan itu perkara biasa dan saya tidak pernah putus asa sebaliknya sentiasa mencuba sehingga membuahkan hasil.

“Saya juga dapat merasakan kepuasan itu apabila perkara dilakukan menemui kejayaan setelah gagal kali pertama,” katanya.

Nik Ismail berkata, tanaman di dalam bekas terbuang itu tidak mendatangkan masalah kerana ia boleh diubah dan ditanam di mana-mana sahaja, sekalipun di atas lantai simen atau tar.

Justeru katanya, tiada alasan bagi mereka yang tinggal di taman perumahan untuk berkebun kecuali mereka memang kurang berminat dan tiada masa.

Menurutnya, dia lebih gemar menggunakan bahan terbuang berbanding menanam secara hidroponik kerana ia bukan sahaja boleh menghasilkan tanaman malah mengindahkan rumahnya.

“Kaki lima di tepi-tepi rumah tidak boleh dicangkul kerana bersimen, tetapi tempat itu boleh diletakkan barang terbuang dan dipenuhkan dengan tanah,” katanya.

Juruteknik itu berkata, kesemua sayur ditanamnya itu bukan untuk dijual tetapi dimakan sendiri.

“Jika dahulu saya perlu membeli sayur-sayuran di pasar, tetapi kini semuanya telah tersedia di halaman rumah, hanya petik sahaja di kebun," katanya.


0 comments:

share2