Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 10, 2016

BOM: DUA PERANCANG DISYAKI MENUJU KE MALAYSIA


Malaysia


Bangkok - Dua rakyat Turki berketurunan Uighur, yang disyaki merancang untuk melakukan serangan ganas di Thailand, dilaporkan telah meninggalkan negara ini untuk ke Malaysia, kata seorang pegawai Thailand.

Gabenor Surat Thani, Wongsiri Promchana, yang memberi maklumat itu kepada Bernama hari ini, berkata beliau dimaklumkan tentang dua lelaki berkenaan menuju ke Malaysia baru-baru ini oleh Pejabat Imigresen Phuket.

"Kami mengadakan pertukaran maklumat antara agensi berkaitan dan Pejabat Imigresen Phuket memaklumkan kepada saya bahawa mereka menjumpai nama dua lelaki Uighur itu dalam sistem imigresen, yang menunjukkan kedua-duanya meningalkan negara ini untuk ke Malaysia.

"Bagaimanapun, ini hanya maklumat awal daripada Pejabat Imigresen yang percaya nama itu (lelaki Uighur) sama dengan yang terdapat dalam memo (perisikan)," katanya dalam wawancara melalui telefon dari Surat Thani semalam.

Wongsiri bagaimanapun tidak menyatakan tarikh tepat dua lelaki itu meninggalkan Thailand untuk ke Malaysia, dan sama ada mereka menggunakan laluan darat atau udara.

Satu sumber perisikan memberitahu Bernama bahawa dua lelaki itu mungkin menuju ke Malaysia dalam perjalanan ke tiga negara yang mungkin menjadi destinasi mereka sama ada Turki, Indonesia atau Singapura.

Semalam, akhbar tempatan 'Khaosod' membocorkan memo perisikan daripada Wongsiri yang mendakwa dua lelaki Uighur dan dua rakyat Rusia berketurunan Chechen merancang melakukan serangan ganas di Thailand.

Memo itu mengenal pasti dua lelaki Uighur berkenaan sebagai 'Ali Yalcin Egin' dan 'Hidayet Dorsun', yang tiba di Phuket dari satu lokasi tidak dikenal pasti pada 23 Mac lepas.

Dua lelaki itu 'mungkin melakukan serangan terhadap kepentingan China di Asia Tenggara," kata memo berkenan, manakala dua suspek berketurunan Chechen itu pula dikatakan merancang untuk menyerang kepentingan Rusia di Thailand.

Dalam respons segeranya semalam, Ketua Polis Thailand Jen Chakthip Chaijinda berkata memo perisikan yang bocor itu adalah sahih dan pasukan beliau menangani maklumat berkenan secara rahsia sejak minggu lepas.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Bernama, gabenor itu berkata beliau mendapat maklumat perisikan sensitif itu daripada Pusat Penyelarasan Perisikan Kebangsaan Wilayah 4 tentang ancaman itu pada 5 April.

Menurutnya memo perisikan itu mengandungi amaran terperinci tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di destinasi pelancongan popular Koh Samui dan Phuket.

Dua tempat itu dijangka sesak dengan pelancong asing termasuk dari China dan Rusia selain rakyat tempatan bersempena Festival Songkran selama empat hari, yang bermula secara rasmi pada 12 April ini.

Disember lepas, agensi perisikan Rusia memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Thailand bahawa sehingga 10 anggota kumpulan militan Daesh warga Syria telah memasuki Thailand untuk menyerang kepentingan Rusia.


0 comments:

share2