Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 17, 2016

ANAK TUKANG RUMAH TERIMA ANUGERAH


Anak tukang rumah terima anugerah


Seremban - Anak tukang rumah dari Terengganu dipilih menerima Anugerah Pendeta Za'ba pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kolej Tunku Kursiah di sini, kelmarin.

Haney Karmila Kaswadi, 17, pelajar tingkatan lima itu sama sekali tidak menyangka akan dapat menerima anugerah berkenaan memandangkan perlu berhadapan saingan ramai dalam kalangan pelajar lain yang turut cemerlang.

Bagaimanapun, Haney Karmila yang juga anak keempat dari enam beradik bersyukur dan menghadiahkan penganugerahan yang diterima itu kepada kedua ibu bapanya.

“Alhamdulillah, pihak sekolah melihat kepada beberapa pencapaian telah saya raih sebelum ini; antaranya menerima anugerah Perak Gemilang dan anugerah Emas Gemilang berdasarkan kepada keputusan cemerlang ketika di tingkatan rendah.

“Selain itu juga, saya pernah membawa nama baik sekolah dengan menjuarai Anugerah Inovasi Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000,” katanya.

Menurutnya, dia ketika ini sedang aktif melakukan kajian dan penyelidikan (R&D) dalam bidang inovasi dan reka cipta teknologi.

“Salah satu projek R&D yang saya sedang usahakan adalah projek spixhaust iaitu satu sistem penyerapan karbon monosida daripada eksos kenderaan yang boleh mengurangkan pencemaran udara kotor.

“R&D projek ini sudah dilakukan sehingga 59 peratus bagi melihat kepada kesannya bagaimanapun, ia masih dilaksanakan lagi dengan mendapat kerjasama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandangkan belum dapat dibuktikan 100 peratus perlaksanaan sistem tersebut.

“Dijangka R&D projek ini akan tamat dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya yang menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, kelmarin.


0 comments:

share2