Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 17, 2016

DEKLARASI RAKYAT GAGAL SELEPAS PENGAKUAN ARAB SAUDI


Khairy Jamaluddin


Kuala Lumpur - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan usaha gerakan 'menyelamatkan' Malaysia yang sedang berjalan itu sudah gagal ditengah jalan apabila kerajaan Arab Saudi mendedahkan kebenaran berkaitan derma RM2.6 bilion.‎

Menurutnya, cubaan mengheret istana dalam kemelut itu hanyalah agenda politik yang tidak mendapat sambutan.

"Saya rasa ini (heret istana) adalah segala usaha politik untuk cuba menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Agenda politik yang jelas saya rasa tidak mendapat sambutan lebih-lebih lagi apabila sudah ada pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa dana itu diberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari kerajaan Malaysia.

"Jadi bagi saya sebahagian besar daripada usaha untuk selamatkan Malaysia kononnya itu telah pun dinafikan. Saya rasa tiada apa-apa lagi yang nak dipertikaikan dalam isu RM2.6 bilion," katanya pada sidang media selepas merasmikan program kupas buku di sini, semalam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pelbagai pihak termasuk pembangkang sedang giat mengumpulkan sokongan rakyat melalui Deklarasi Rakyat untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu dalam usaha menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Tun Mahathir berkata, suara rakyat suara keramat dalam membawa perubahan kepada negara ini.

Sementara itu, mengulas tentang cadangan DAP agar siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disambung semula oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Khairy menyerahkan perkara itu kepada polis.

"Polis telah membuka semula siasatan berdasarkan laporan PAC. Jadi kita serah kepada polis untuk buat siasatan," katanya. 

PAC telah mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu pada 7 April lalu di Parlimen yang mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas CEO 1MDB itu dan pihak yang berkaitan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.


0 comments:

share2