Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 27, 2016

[TEMERLOH] SUNGAI PAHANG JADI TUMPUAN KUTIP ETAK

Sungai Pahang jadi tumpuan kutip etak



Durian Tawar - Sungai Pahang yang surut dan cetek sejak beberapa minggu lalu, kini menjadi tumpuan orang ramai pada waktu petang bagi mengutip etak untuk dijadikan hidangan.

Keadaan sungai cetek bukan sahaja memberi kesempatan kepada mereka mengutip etak bersama keluarga dan rakan, malah memberi peluang kepada anak-anak kecil bermandi-manda.

Seorang pengunjung dari Felda Rentam, Ahmad Fadzil Yaakob, 26, berkata, ini kali pertama dia mencari dan mengutip etak selepas mengetahui mengenai aktiviti itu menerusi laman sosial.

“Saya tidak pernah kutip dan makan etak tetapi bila tengok di Facebook, aktiviti ni dah macam pesta... saya jadi teruja nak cuba.

“Sesekali buat aktiviti macam ni memang seronok sebab boleh dapat pengalaman, etak pun dapat dimakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Zahari Ibrahim, 55, pula berkata, fenomena seperti itu jarang berlaku dan apabila air sungai surut, orang ramai akan mengambil peluang untuk mencari etak yang sukar diperoleh di pasaran berikutan terdapat undang-undang yang menghalang ia dijual.

Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang mengutip etak bersama ahli keluarganya, sekali gus anak-anaknya dapat mengenali haiwan bercengkerang itu.

“Saya bawa anak-anak supaya mereka boleh kenal, tahu macam mana nak kutip etak ni dan paling penting mereka seronok.

"Lagipun saya datang kutip etak pun sekadar suka-suka, kalau ada rezeki, bolehlah dapat banyak,” katanya.

Mohd Nazri Abdul Rahman, 32, berkata, dia teruja melihat deretan kenderaan di tepi jalan dan kemeriahan orang ramai di sepanjang sungai di kawasan itu ketika dia memandu menghala ke Kota Gelanggi, Jerantut.

“Saya teruja sebab ini kali pertama saya kutip sendiri etak. Walaupun tidak dapat banyak, tetapi saya seronok sebab dapat pengalaman baharu,” katanya.

Sementara, Ketua Wanita Umno Bahagian Bera, Sabariah Saidan yang turut berada di kawasan itu berkata, air sungai surut memudahkan orang ramai mengutip etak dan mereka yang berpengalaman akan mencari di kawasan berlumpur yang menjadi habitatnya.

“Kawasan ini jadi tumpuan penduduk kampung dan orang luar untuk cari dan kutip etak sejak dua minggu lalu... suasananya dah macam pesta.

“Namun, dalam keghairahan mengutip etak, kena utamakan keselamatan sebab saya difahamkan ada kawasan yang dalam dan jerlus,” katanya.




0 comments:

share2