Kehadiran pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan tidak berubah sebagaimana sebelumnya meskipun cuaca panas dan air sungai menjadi cetek.
Malah difahamkan, situasi cuaca sebegini adalah biasa buat penduduk Kuala Tahan dan sekitarnya sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
Pemandu pelancong, Ramlan Mat Amin, 42, berkata, malah rata-rata pelancong dikatakan amat gembira untuk melancong di Taman Negara dalam keadaan cuaca panas sebegini.
“Di sini, hanya ada dua musim iaitu musim banjir dan musim panas. Suasana sebegini adalah biasa buat kami.
“Kedatangan pelancong langsung tak terjejas, malah mereka makin seronok untuk datang ke sini,” katanya.
Tambahnya, paras air sungai yang semakin cetek juga adalah biasa buat mereka, namun kali ini keadaannya lebih teruk kesan banjir 2014.
“Banjir dua tahun lalu mengakibatkan banyak benteng dan tebing sungai runtuh, sekali gus mengakibatkan air sungai makin cetek,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Seorang pemandu bot, Mohd Al-Bukhori Abdul Sani, 32, berkata, keadaan air yang semakin cetek membuatkan perjalanan bot membawa pelancong memakan masa.
“Kami terpaksa tolak bot kerana banyak kawasan sungai cetek...meskipun begitu, pelancong seronok dengan suasana terbabit,” katanya.
Operator pelancongan Han Travel, Nozaruddin Sulong, 45, berkata, air sungai cetek sedikit sebanyak menjejaskan bot pelancongan di mana kawasan cetek dan berbatu mengakibatkan bot pecah.
“Banyak bot yang pecah, jadi kami terpaksa baiki sendiri...tapi keadaan sebegini sudah biasa kami lalui,” katanya.
Seorang pelancong Switzerland, Christian Binder, 28, berkata, pertama kali merasai suasana dengan cuaca panas memberi pengalaman menarik buatnya.
“Saya sudah berada di sini tiga hari, cuaca terlalu panas buat saya, tapi saya seronok kerana kami dibawa pergi ke air terjun untuk menyejukkan badan.
“Tambahan pula, keadaan persekitaran Taman Negara yang dipenuhi pokok membuatkan suasana terasa tidak terlalu panas,” katanya.
0 comments:
Post a Comment