Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 25, 2016

RM 31,000 LESAP BAHANA LOVE SCAM


RM31,000 lesap bahana Love Scam


Kampung Raja – Seorang pekerja swasta menjadi mangsa penipuan 'Love Scam' setelah terpedaya dengan pujuk rayu kenalan yang hanya dikenali melalui laman sosial, khususnya Facebook.

Wanita berusia 35 tahun itu kerugian RM31,000 apabila memasukkan wang tersebut ke dalam akaun, dipercayai sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah menggunakan orang tengah yang berkenalan dan bertukar nombor telefon dengan mangsa, termasuk memberi ayat-ayat cinta sehingga mangsa terpedaya.

Menurutnya, setelah hubungan terjalin, mangsa dimaklumkan suspek telah menghantar barangan berharga seperti barang kemas dan telefon bimbit berjenama secara pos dari luar negara.

“Suspek akan memaklumkan kepada mangsa kononnya barang itu ditahan agensi penguat kuasa negara ini dan hanya boleh ditebus sekiranya mangsa memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan suspek. Mangsa yang terpedaya akan memasukkan wang tersebut, bagaimanapun barangan yang dijanjikan tidak sampai,” katanya.

Menurut Khaled, sepanjang tahun ini sehingga semalam, sebanyak tiga kes 'Love Scam' dilaporkan di daerah ini, membabitkan kerugian sebanyak RM36,000.

Katanya, dua lagi kes membabitkan pekerja pembersihan yang kerugian RM2,000 dan pembantu tadbir (RM3,000).

“Semua mangsa terdiri daripada ibu tunggal. Mereka dipercayai terpengaruh dengan pujuk rayu suspek melalui laman sosial.

"Oleh itu, orang ramai terutama golongan wanita dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan sindiket ini dan tidak melayan kenalan di laman sosial yang diragui,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khaled berkata, seramai lima orang membuat laporan polis setelah menjadi mangsa penipuan pembelian barang secara atas talian dalam tempoh sama tahun ini, melibatkan kerugian berjumlah RM25,000.

"Seorang daripada mangsa rugi kira-kira RM13,000 selepas membeli telefon bimbit secara atas talian. Mangsa terpengaruh dengan iklan telefon berjenama dengan harga rendah (hampir separuh daripada harga pasaran). Mangsa memesan banyak telefon bimbit, tetapi selepas wang dimasukkan ke dalam akaun diberikan, barangan yang dipesan tidak sampai.

"Selain telefon bimbit, dua kes melibatkan pembelian kereta dan satu kes lagi melibatkan pembelian lori. Suspek mengiklankan tawaran jualan dengan harga rendah, termasuk memuat naik gambar di laman sesawang yang sering mengiklankan barangan jualan.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang dan memberi alamat palsu kepada mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Khaled menasihati orang ramai agar tidak membeli kenderaan secara atas talian tanpa melihat sendiri barangan jualan dan bersemuka dengan penjual, termasuk berhati-hati ketika membeli barangan yang dijual dengan harga tidak masuk akal.

Menurutnya, orang ramai perlu ada syak wasangka dan tidak mudah percaya dengan tawaran harga murah yang diiklankan mana-mana individu tidak dikenali.

“Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan atau membuat transaksi wang kepada mana-mana individu tidak dikenali,” katanya.


0 comments:

share2