KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima notis lengkap dari penganjur berhubung himpunan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu depan bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletak jawatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sudah berulang kali diberitahu jika hendak buat himpunan perlu patuhi Akta Perhimpunan Aman.
Menurutnya, jika tidak patuhi, tindakan akan diambil.
Mengulas sama ada penganjur sudah menyerahkan notis atau belum, Khalid berkata, setakat ini dimaklumkan, pihaknya masih belum menerima notis lengkap dari penganjur.
Selain itu, beliau turut mengulas tentang himpunan yang diadakan secara tertutup Ahad ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tolak himpunan 'selamatkan Malaysia']
"Kita tetap akan pantau apa yang disebut dalam himpunan itu. Jika menjurus kepada menghasut, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Trim & Fit' PDRM sempena hari polis ke-209, di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.
Sebelum ini, Parti Amanah Negara (Amanah) merancang untuk mengadakan sebuah perhimpunan di ibu kota yang mana peserta akan berkumpul di pekarangan pusat beli belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Dijangkakan sebanyak 100 ribu orang akan menyertai perhimpunan ini yang bermula 2 petang sehingga 5 petang, dengan kehadiran beberapa bekas pemimpin antaranya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
0 comments:
Post a Comment