Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 26, 2016

[KUANTAN] SISA KUMBAHAN JEJAS PANTAI TELUK CEMPEDAK


Sisa kumbahan jejas Pantai Teluk Cempedak


Bau busuk yang didakwa berpunca daripada sisa kumbahan yang mengalir ke saliran terbuka di Pantai Teluk Cempedak di sini, membuatkan pengunjung tidak selesa.

Mereka juga kesal apabila aktiviti terganggu dengan bau kurang menyenangkan itu.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi terbabut mendapati bau busuk bukan sahaja berpunca dari sisa kumbahan malah sampah yang dibuang ke dalam saliran.

Keadaan itu menjejaskan imej Pantai Teluk Cempedak yang popular dan sentiasa dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Haminah Mat Daud, 53, pantai itu sering menjadi pilihan keluarganya untuk menikmati udara segar jika berkunjung ke Kuantan.

Katanya, bagaimanapun, aspek kebersihan di kawasan pelancongan itu didapati kurang memuaskan berbanding beberapa tahun lalu.

Menurutnya, bau busuk dari saliran kecil berdekatan, mengganggu dan menyebabkan mereka sekeluarga tidak selesa.

“Malulah dengan pelancong asing yang datang ke Kuantan untuk menikmati keindahan pantai kerana realitinya indah khabar dari rupa.

“Saya sekeluarga bercuti ke sini selama empat hari dan mahu lari seketika dari kesibukan kota,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pantai Teluk Chempedak, di sini.

Haminah berkata, kebersihan antara aspek penting yang menjadi pilihan pelancong sebelum membuat keputusan untuk pergi ke mana-mana destinasi.

Dia juga mendakwa, gerai menjual makanan di kawasan berkenaan kurang sistematik dan tiada daya tarikan.

Sementara itu, Wan Nurul Elisa Wan Mohamed, 21, mengakui terkejut dengan keadaan di kawasan Pantai Teluk Chempedak yang dicemari bau busuk.

Katanya, dia yang sering berkunjung ke pantai tersebut setiap kali cuti semester kecewa dengan situasi itu.

“Saya sendiri kurang pasti punca bau busuk itu tapi saya nampak ada sampah yang dibuang ke dalam saliran dan tersumbat,” katanya.

Menurutnya, pencemaran itu mungkin berpunca dari sikap pengunjung yang kurang peka dengan kebersihan persekitaran dan membuang sampah merata-rata.

Pelajar itu berkata, dia berharap semua pihak memberikan perhatian dan segera menangani masalah itu.

Nor Amira Nor Mohamed, 21, pula berkata, dia menyedari bau busuk itu sebaik keluar dari keretanya yang diletakkan di kawasan berdekatan.

“Bau busuk tersebut amat mengganggu dan ia perlu diatasi segera,” katanya.


0 comments:

share2