Shah Alam – Pas mengumumkan tidak turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka diadakan esok.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.
“Pas menghargai pelawaan Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk sama-sama hadir dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Perdana Menteri,” katanya.
Hari ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan pihaknya akan mengadakan sidang media dengan bekas Perdana Menteri itu esok berhubung gerakan mereka menyingkirkan Najib.
Dalam pada itu, menurut Takiyuddin, pihaknya menuntut supaya Parlimen dibubarkan segera bagi membolehkan pilihanraya umum diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.
“Selaras dengan itu, Pas mengajak seluruh rakyat untuk bersama Pas dan Blok Politik Ketiga sebagai alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan cemerlang.
“Pas konsisten dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem pemerintahan negara,” katanya.
Katanya, Pas juga akan menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi mengadakan siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, dana politik RM2.6 bilion, skandal SRC International dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana yang telah dititahkan oleh persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
0 comments:
Post a Comment