Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 24, 2016

MEMORI INDAH ENAM BERADIK KINI MENJADI ABU


Memori indah enam beradik kini menjadi abu


Marang - Memori indah enam beradik yang mendiami rumah pusaka keluarga kini menjadi abu apabila rumah yang berusia lebih 50 tahun itu terbakar di Kampung Tanjung Resam, Merchang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa Engku Sakari Engku Kechik, 29, tinggal sehelai sepinggang dan mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM72, 000 apabila rumah peninggalan ibu bapanya terbakar.

Menurut abang mangsa, Engku Azhar Engku Kechik, 38, kejadian hanya disedari jiran yang tinggal berhampiran rumah peninggalan ibu bapanya itu setelah melihat kepulan asap dari arah rumah pusaka keluarganya itu.

“Saya tidak tinggal di rumah itu kerana sudah berkeluarga. Selepas mendapat berita mengenainya bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan sebenar namun semuanya sudah terlambat kerana api cepat marak,” katanya.

Engku Azhar bagaimanapun bersyukur adiknya itu tiada di dalam rumah ketika kejadian.

“Rumah pusaka itu didiami Engku Sakari kerana dia masih bujang. Alhamdulillah adik saya tidak berada di rumah. Ketika itu dia keluar untuk membeli sarapan. Jika dia ada dan sedang tidur saya tak tahu apa akan terjadi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi adiknya, Engku Robiah, 27, berkata, dia amat sedih melihat rumah pusaka didiami mereka pada waktu kecil itu hangus sekaligus membawa bersama memori indah ketika bersama ibu bapa mereka.

“Memang sedih kerana banyak kenangan dan barang peninggalan kedua ibu bapa dan bertambah sedih apabila rumah tersebut tetap menjadi rumah tempat kami berkumpul walaupun kedua ibu bapa kami telah tiada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Pegawai Bomba Kanan II, Roslan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.27 pagi dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke lokasi.

“Api berjaya dikawal dan tiada mangsa terlibat. Punca kejadian masih disiasat,” katanya.


0 comments:

share2