Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang tidak menolak kemungkinan bahawa pelepasan sisa atau bahan buangan secara haram menjadi penyebab air Sungai Nyior di perumahan Balok Baru di sini, bertukar menjadi hitam.
Pengarahnya, Rosli Zul berkata, dakwaan itu berdasarkan pemerhatian awal yang mendapati wujud bau tidak menyenangkan dan tiada aktiviti berpotensi menyebabkan pencemaran seperti kawasan perindustrian di sekitar sungai sepanjang tiga kilometer itu.
"Siasatan awal juga mendapati kawasan yang tercemar hanya sekitar 350 meter dari Jambatan Balok Baru. Mungkin berlaku pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa tercemar pada waktu tidak ramai orang seperti tengah malam.
Tiada akses lain untuk ke sungai ini kerana ini adalah kawasan belukar. Hanya jambatan ini yang ada potensi untuk pelepasan haram dilakukan," katanya kepada pemberita selepas melawat sungai itu di sini, semalam.
Rosli turut menolak kemungkinan perubahan warna air sungai itu disebabkan warna daripada paya gambut kerana bau air yang tidak menyenangkan itu tidak sama dengan bau air sungai semula jadi.
Rosli menambah keadaan air pasang surut pula berkemungkinan menjadi punca air hitam 'merebak' sejauh 350 meter dari jambatan itu dan kesan hitam dapat dilihat di tebing sungai semasa air surut.
Beliau juga memaklumkan pihaknya telah mengambil sampel air sungai itu pada Ahad lepas, dan Jabatan Kimia dijangka akan mengeluarkan keputusan analisis dalam tempoh dua minggu.
"Kami juga mengambil sampel dari loji kumbahan dan tapak pelupusan sampah yang terletak kira-kira dua kilometer dari sungai bagi tujuan pemadanan, walaupun pemerhatian awal berpendapat potensi pencemaran berpunca akibat aktiviti di situ adalah kecil.
"Pemantauan visual dari arah jambatan berhampiran tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor mendapati air sungai di situ adalah biasa dan tiada pencemaran manakala loji kumbahan juga tiada melakukan pelepasan sisa dalam tempoh terdekat" katanya.
Rosli menambah JAS juga akan mencadangkan langkah terbaik untuk memulihkan sungai itu selepas memperoleh keputusan analisis.
Beliau juga menasihatkan orang ramai yang gemar memancing di sungai berkenaan untuk menghentikan aktiviti terbabit sehingga keadaan sungai kembali normal dan punca perubahan warna itu diketahui.
just nak highlight kita duduk sibuk pasal sungai pinang sungai rambutan sungai nyior tapi kita neglect sungai kuantan yang juga kotor sungai yang paling hampir dengan bandar kuantan.