Gerik - Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad agar perlunya campur tangan istana dalam gesaan perletakan jawatan Perdana Menteri dilihat bertentangan dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak sesuai, malah membelakangkan hak rakyat yang mempunyai keutamaan menentukan tunjang kerajaan melalui pilihan raya.
Menurutnya, bermula dengan deklarasi rakyat dan kemudiannya cuba mendapatkan sokongan institusi Diraja, bekas Perdana Menteri itu seakan memaksa rakyat untuk bersetuju dengan pandangan diberikan mereka.
“Kita hormati pandangan mereka dan mereka juga harus hormati pandangan umum, kita ada sistem pemerintahan yang dah ditentukan sejak merdeka lagi.
“Pilihan raya itu adalah kunci segala-galanya, di situlah rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan parti mana, kita tak boleh paksa mana-mana pihak untuk bersama kita, jadi beri peluang untuk beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) menamatkan tempohnya dan rakyat akan buat keputusan parti mana yang seharusnya diberikan mandat sebagai pemerintah,” katanya pada sidang media sempena program Kembara Jalinan Kasih (CTU) di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, di sini, semalam.
Sebelum ini, Mahathir dalam ucapannya pada Kongres Rakyat di Shah Alam berharap, Raja-raja Melayu akan mendengar keluhan rakyat dan campur tangan dalam menggesa perletakan jawatan Najib.
Salleh berkata, dalam era kepimpinan Najib, kerajaan lebih terbuka dan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menyatakan pandangan dan kritikan secara konstraktif.
Katanya, yang menjadi masalah hanya apabila perkara asas dipersoalkan hingga boleh menjejaskan keharmonian kaum dan kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak larang mana-mana pihak untuk tidak bersetuju dengan kita, soalnya bagaimana kita urus perbezaan itu..mereka berhak buat apa-apa tindakan asalkan tidak bertentangan dengan sistem yang telah dipilih negara ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment