Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 25, 2016

[KUANTAN] PENDUDUK KECEWA ISU JALAN TAK SELESAI


Penduduk kecewa isu jalan tak selesai


Seramai kira-kira 80 penduduk di Taman Permatang Badak dekat Perdana 4, di sini kecewa apabila isu jalan di kawasan perumahan itu masih tidak selesai walaupun sudah lebih setahun masalah itu dibangkitkan.

Mereka mendakwa, tiada rizab jalan di kawasan perumahan itu namun dijadikan jalan pintas oleh kenderaan berat seperti bas, lori dan treler, sekaligus membahayakan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak.

Difahamkan, laluan tersebut menjadi tumpuan kerana menjimatkan masa memandangkan pemandu tidak perlu melalui jalan besar dan menempuh lampu isyarat di kawasan bandar untuk ke Jalan Bypass.

Penduduk mengambil inisiatif membina penghadang jalan hasil kutipan derma namun ia tetap dirempuh pemandu.

Pengerusi Taman Permatang Badak, Shazwan Shahabadin berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah penduduk, sebuah lori dilihat melanggar pengadang jalan itu Jumaat lalu.

“Kami terkilan kerana pemandu terbabit merosakkan kemudahan yang dibina dengan kos RM1,000 hasil kutipan dilakukan penduduk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, masalah berkenaan sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat tetapi hingga kini tiada tindakan diambil untuk mengatasinya.

Shazwan berkata, menerusi perbincangan lisan sebelum ini, jalan perumahan itu dipersetujui untuk dijadikan laluan masuk sehala manakala jalan projek luar bandar (PLB) dijadikan jalan keluar.

“Kami masih tunggu PBT meletakkan papan tanda ‘Jalan masuk’ atau ‘Jalan keluar’ bagi memudahkan pergerakan kenderaan dan elak kemalangan.

“Kami juga mahu pihak bertanggungjawab membina pengadang jalan kekal di taman perumahan ini,” katanya.


0 comments:

share2