Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 24, 2016

ANGIN KENCANG: 20 KANOPI PENIAGA `TERBANG'


Angin kencang: 20 kanopi perniaga 'terbang'


Sungai Buloh - Angin kencang semalam mengakibatkan kira-kira 40 peratus peniaga pasar malam Paya Jaras, di sini mengalami kerugian selepas bukan sahaja kanopi mereka diterbangkan, malah jualan rosak serta ada kenderaan dihempap pokok.

Sekurang-kurangnya tiga peniaga cedera di bahagian kepala, patah kaki dan tangan akibat ditimpa pokok dalam kejadian jam 4 petang itu.

Seorang peniaga, Farahwati Norrahim, 31, berkata, dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila kanopi dan jualan makanannya rosak.

“Mulanya hujan renyai kemudian baru angin menyusul. Dua kali angin kuat datang dan kali kedua baru sebabkan kanopi terbang dan tiga pokok tumbang.

“Kami semua memang dah takut, ada yang lari berteduh, ada yang menangis dan ada juga yang laungkan azan. Sebelum ini pernah berlaku tapi kali ini paling teruk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dia yang terjejas akibat insiden tersebut terpaksa membatalkan niat untuk berniaga, sementara yang tidak terjejas meneruskan perniagaan seperti biasa.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nurazila Mohd Hanafiah, 24, berkata, insiden turut menyebabkan kesesakan lalu lintas berikutan lokasi kejadian bersebelahan jalan utama.

“Kebetulan saya dalam perjalanan dari Kota Damansara menghala ke Kuala Selangor dan apabila sampai lokasi, ada sedikit kesesakan. Banyak khemah terbang dan rosak teruk.

“Nampak juga tiga motosikal ada bawah pokok tumbang. Saya tak singgah hanya ambil gambar dalam kereta saja,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, seorang remaja lelaki 13 tahun antara empat yang tercedera apabila tiga pokok tumbang akibat dipukul ribut di sebuah tapak pasar malam di Paya Jaras, Sungai Buloh petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian pada jam 3.20 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa sedang dalam persiapan membuka gerai.

"Remaja berkenaan cedera pada bahagian kepala dan patah tangan kirinya, manakala dua lagi lelaki masing-masing berusia 53 dan 21 tahun cedera pada badan serta pinggang.

Selain itu,seorang wanita warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 40-an pula hanya mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Mohd Rozi berkata, kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan teruk pada sebuah lori dan tiga buah van peniaga di pasar malam itu.

"Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


0 comments:

share2