NEW DELHI - Selepas baru sahaja dilanda pencemaran udara yang teruk, New Delhi sekali lagi menjadi perhatian kerana masalah baru.
Warga Delhi terkejut besar dengan tindakan tidak peri kemanusiaan pihak berkuasa keretapi merobohkan rumah-rumah setinggan yang dihuni golongan miskin di sepanjang landasan keretapi.
Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang senada dalam membantah hal ini dengan mempersoalkan masa tindakan itu memandangkan keadaan jerebu yang teruk dan kedatangan musim sejuk.
Ratusan, jika tidak pun ribuan, setinggan yang diusir ini akan menambah kepada bilangan lebih 150,000 gelandangan yang ada di ibu negara India itu.
Bagi mereka ini, tidak kira hujan atau panas, mana-mana tempat di bawah langit Delhi boleh menjadi 'rumah' untuk mereka berlindung.
MASALAH BESAR
Akhbar The Times of India menyiarkan data yang dikeluarkan rangkaian zon polis bersepadu di bawah kementerian keretapi bahawa seramai 33,518 gelandangan meninggal dunia di Delhi antara bulan Januari 2004 dan Oktober 2015 dengan antara punca kematian adalah penyakit berjangkit.
Berbanding di Malaysia di mana kebanyakan setinggan disediakan kediaman alternatif atau diberi rumah di bawah program pembasmian rakyat miskin tegar, bantuan untuk setinggan atau gelandangan di Delhi adalah terhad.
Sunil Kumar Aledia dari Pusat Pembangunan Holistik memberi gambaran yang jelas akan masalah itu dan pandangannya disiar dalam akhbar harian yang sama.
"Terdapat hampir 150,000 gelandangan di Delhi dan daripada jumlah itu hanya 4,890 mendapat tempat perlindungan. Ini adalah hanya 3.2 peratus daripada jumlah gelandangan di ibu negara itu.
"Yang lainnya terpaksa berusaha sendiri dan ada yang terpaksa bersesak-sesak di tempat yang terhad, dengan risiko dijangkiti penyakit. Mereka lazimnya tidur di tepi jalan dan ini menambah lagi kemungkinan berlaku kemalangan," kata Aledia.
PUNCA MASALAH
Punca utama masalah kewujudan setinggan dan gelandangan adalah penghijrahan luar bandar-bandar.
Delhi dikelilingi dua negeri utama iaitu Haryana di sebelah barat dan Uttar Pradesh di timur. Kedua-dua negeri ini berdepan dengan kadar pengangguran yang tinggi sejak bertahun-tahun lamanya.
Keadaan ini menjadi bertambah buruk dengan cuaca tidak menentu memaksa ribuan petani turut berhijrah ke kawasan bandar.
Peniaga tempatan S.Gupta yang mempunyai hampir 300 orang pekerja di kilang kabelnya di pinggir Delhi berkata mereka yang berada di Delhi berasal dari hampir semua bahagian India.
Menurut beliau, mereka percaya berhijrah ke bandar adalah penyelesaian terbaik kepada masalah yang alami di kampung halaman mereka.
Gupta menambah setiap hari ada sahaja orang yang menunggu sehingga berjam-jam di pintu masuk kilangnya untuk mencari pekerjaan.
Seorang pekedai di kawasan kejiranan saya di Hauz Khas juga berkongsi perkara yang sama sambil menyatakan sudah hampir tiada ruang lagi untuk orang miskin di Delhi.
Kadar sewa yang melambung serta ketiadaan kemudahan perumahan awam menjadikan keadaan lebih rumit untuk golongan miskin dan ramai yang tidak mempunyai pilihan selain menjadi gelandangan.
Ada juga yang mempersalahkan dasar kerajaan sekarang dan yang sebelumnya kerana gagal menangani masalah miskin tegar serta miskin bandar bukan sahaja di Delhi tetapi di bandar-bandar utama yang lain.
KEADAAN YANG MENYAYAT HATI
Pengunjung ke Delhi tidak akan melihat kawasan setinggan ini kerana beberapa tahun lalu ketika berlangsungnya Sukan Asia dan Sukan Komanwel kawasan setinggan ditolak jauh dari bandar.
Bagaimanapun, gelandangan kini secara kerap boleh dilihat di bandar antaranya di bawah jambatan serta tepi-tepi jalan.
Selain kawasan yang diistilahkan sebagai kawasan orang kenamaan, di persimpangan jalan pasti akan terlihat kanak-kanak, ada yang hanya berusia dua atau tiga tahun, meminta sedekah.
Saya sendiri pernah melihat kanak-kanak yang mengemis di bawah terik matahari tanpa kasut atau pakaian yang sempurna.
Kerap juga ibu mereka dengan pakaian yang compang-camping turut bersama meminta sedekah. Tetapi awas, ada juga orang miskin dan gelandangan ini yang bekerja dengan sindiket untuk mengemis!
Bagaimanapun, memandangkan perubahan pesat yang sedang berlaku di India, isu kawasan setinggan serta gelandangan dijangka hanya menunggu masa untuk diselesaikan.
Sewaktu kunjungan saya ke bandar-bandar di Tamil Nadu dan Jaipur, Rajasthan, saya dapati tidak ramai gelandangan serta kawasan setinggan dan persekitarannya pula lebih bersih.
0 comments:
Post a Comment