Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 16, 2015

[BENTONG] BANJIR KILAT SATU PERMULAAN

Banjir kilat satu permulaan



Bulan lalu, Kampung Benus dan Chegar Medang di sini telah mula dilanda banjir kilat.

Sementara tahun lalu, Felda Lurah Bilut pernah dilanda banjir kilat yang teruk sehingga membabitkan kerugian mencecah kira-kira RM300,000 berikutan Klinik Kesihatan Felda Lurah yang memiliki alatan perubatan yang mahal ditenggelami air.

Selain itu, beberapa rumah peneroka dan kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Felda Lurah Bilut turut terjejas sekali gus menganggap kejadian itu yang paling buruk pernah melanda tanah rancangan itu.

Bagaimanapun langkah seperti mendalamkan Sungai Kertok dan Sungai Kertau telah dimulakan 12 Oktober lalu justeru memberi sedikit kelegaan buat penduduk.

Ketua MCA Cawangan Lurah Bilut, Yip Seng Lam berkata, penduduk berharap melalui kerja-kerja terbabit kejadian banjir kilat tersebut tidak lagi berulang.

“Ia merupakan banjir paling teruk pernah berlaku dan penduduk berharap kejadian tak berlaku lagi.

“Kami berterima kasih kepada Ahli Parlimen, Datuk Sri Liow Tiong Lai dan Pengerusi MCA Bahagian, Senator Datuk Hoh Khai Mun kerana mengusahakan peruntukan untuk projek ini,” katanya.

Selain itu, beberapa pangkalan hadapan turut disediakan jawatankuasa bencana bagi menghadapi kemungkinan banjir apabila baru-baru ini, Pegawai Daerah, Datuk Azhar Arshad telah melakukan tinjauan ke salah sebuah pangkalan hadapan di Mukim Pelangai bersama Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Bentong, SM (PA) Mohd Zulkhairi Adek Awang.

Zulkhairi berkata, pangkalan hadapan berfungsi sebagai tempat penyimpanan barangan makanan jika berlaku banjir di tempat yang bekalan makanannya terputus.

“Di sini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan dua tempat iaitu di Balai Polis Karak dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Telemong sebagai pangkalan hadapan.

“Bantuan ini hanya bersifat sementara dan kecemasan, sementara bantuan-bantuan lain akan diberikan oleh agensi penyelamat mengikut keadaan semasa sama ada melalui darat atau udara,” katanya.

Menurutnya, pihak JPAM turut melatih masyarakat setempat membuat persiapan dan persediaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Kita juga sentiasa siap siaga dari segi aset kenderaan darat, air, peralatan logistik, komunikasi serta latihan bersama bagi mengeratkan kerjasama antara agensi dalam operasi.

“Kita juga akan atur gerakan pasukan penyelamat dan pasukan bantuan kemanusiaan di daerah lain sekiranya berlaku bencana.

“Untuk makluman tahun lepas kita telah menghantar dua bot penyelamat, dua kenderaan pacuan empat roda, dan 15 anggota bagi menyertai misi bantuan menyelamat di Jerantut,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Kol (PA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yang menyumbang sebuah bot penyelamat terbabit.

“Bot ini kita gunakan bagi operasi menyelamat, memindahkan penduduk setempat ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, serta menghantar bekalan makanan bagi yang terputus hubungan akibat banjir. Bot ini telah beroperasi semasa kejadian banjir kilat baru-baru ini di Benus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pelbagai persediaan dibuat termasuk membentuk pasukan penyelamat Ibu Pejabat Polis Daerah Raub yang ditugaskan mengikut zon.

“Kita juga telah menggerakkan pasukan rondaan di kawasan-kawasan yang kerap berlaku banjir kilat dan tanah runtuh.

“Selain itu, Ketua Polis Balai turut memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat mengenai situasi kawasan pentadbiran balai masing-masing di musim tengkujuh ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan masyarakat mematuhi arahan berpindah sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka.




0 comments:

share2