Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 1, 2015

[KUANTAN] TIADA EMAS DI KAWASAN BAUKSIT


Tiada emas di kawasan bauksit


Penemuan emas di kawasan perlombongan bauksit di sekitar Kuantan adalah tidak benar kerana aktiviti perlombongan mineral itu tidak berlaku di jalur kawasan emas.

Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak berkata, beliau dan kerajaan negeri juga tidak pernah dimaklumkan tentang penemuan emas di sini sejak perlombongan bauksit bermula beberapa tahun lalu.

Menurutnya, sebarang penemuan emas di negeri ini perlu dilaporkan kepada jabatan berkenaan dan kerajaan negeri.

“Apabila melombong, mungkin akan berjumpa sedikit mineral lain selain mineral utama. Tetapi emas memang kita tidak dengar kerana emas di Pahang hanya terdapat di kawasan tertentu.

“Emas di Pahang juga lazimnya dijumpai dalam bentuk ‘solid rock’ menyebabkan ia tidak mudah untuk diambil dalam bentuk ‘finish product’,” katanya semasa dihubungi.

Sehubungan itu, Mohd Soffi menafikan dakwaan yang tersebar di laman sosial Facebook yang mendakwa penemuan emas di lombong bauksit menjadi sebab aktiviti perlombongan mineral itu tidak dihentikan.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang, Mohd Zaim Abdul Wahab juga menyifatkan dakwaan penemuan emas di Kuantan sebagai ‘sangat-sangat tipis dan boleh diabaikan’ kerana geologinya sebagai kawasan yang bukan mempunyai emas.

“Kajian menunjukkan jalur emas di Pahang bermula dari Kelantan, melalui Merapoh, Kuala Lipis, Raub dan Bentong.

"Semua kawasan ini terletak di Pahang barat dan bukannya di timur negeri,” katanya.


0 comments:

share2