Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 28, 2015

ANAK KECIL DIBIAR MAIN SENDIRIAN


Anak kecil dibiar main sendirian


Tanjung Bumgah - Keadaan di sepanjang pesisir Pantai Batu Ferringhi, semalam sesak dengan kehadiran ratusan pengunjung berikutan musim cuti persekolahan yang sudah pun bermula.

Antara pantai yang terlibat termasuk Miami Bay, Pantai Shamrock dan juga Moonlight Bay.

Namun agak mendukacitakan apabila rata-rata pengunjung langsung tidak mengendahkan keadaan ombak besar di sepanjang pantai tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengunjung datang ke situ dengan selamba membiarkan anak kecil mereka bermain air laut sendirian tanpa ditemani penjaga.

Peniaga yang tidak mahu namanya didedahkan memaklumkan, kejadian ombak besar berlaku sejak awal pagi iaitu ketika hujan lebat.

Menurutnya, bagaimanapun ramai pengunjung yang datang tidak mempedulikan keadaan hujan sebaliknya terus menunggu di dalam kereta dan juga berlindung di bawah pokok besar sepanjang pantai.

“Setelah hampir 30 minit hujan sudah mula renyai, pengunjung terus ke pantai dan ada di antara anak-anak kecil turut bermain di pesisir laut.

“Memang agak bahaya namun masing-masing perlu beringat kerana di pantai ini pernah terjadi kemalangan yang mengakibatkan kejadian lemas,” katanya.

Pengunjung dari Melaka yang hanya ingin dikenali sebagai Din berkata, kehadirannya ke situ semata-mata mahu memenuhi permintaan anak-anak.

Menurutnya, dia sekeluarga pulang ke kampung di Gelugor sekali dalam setahun menyebabkan permintaan tersebut sukar untuk ditolak.

“Di sini kampung nenek angkat saya, jadi memang jarang balik. Apabila anak-anak nak mandi laut memang saya susah nak tolak sebab kami jarang ke sini.

“Walaupun ombak besar tapi saya tetap berjaga-jaga, bagaimanapun saya masih lihat ada di antara ibu bapa lain membiarkan anak mereka mandi bersendirian. Perkara sebegini sebenarnya hanya ingatan untuk kita sendiri, tak salah juga jika kita dapat menegur pengunjung lain,” katanya.


0 comments:

share2